Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengekalkan khidmat jurulatih skuad bola sepak wanita negara, Soleen Al-Zoubi selama dua tahun lagi.
Perkara ini disahkan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob. Keputusan ini dibuat selepas FAM berpuas hati dengan prestasi pasukan yang dibimbing Soleen.
Suraya turut berterima kasih kepada Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin kerana meluluskan permohonan menyambung kontrak jurulatih Jordan itu.
“(Khidmat) dia disambung. Dan satu perkara saya perlu berterima kasih kepada presiden, Tan Sri Hamidin setuju menyambung kontrak Coach Soleen,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Suraya turut memaklumkan FAM turut menimbang untuk membawa seorang lagi jurulatih luar untuk membantu Malayan Tigress.
Walau bagaimanapun, sebarang perancangan untuk usaha ini perlu mendapat kelulusan presiden baharu FAM. Ini kerana Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM 2025-2029 bakal diadakan pada 15 Februari ini.
“Kita juga berpendapat kita memerlukan seorang lagi jurulatih yang diambil dari luar. Dan saya perlu merujuk kembali dengan presiden baharu nanti,” tambahnya.
“Ada beberapa perkara yang kita masih berbincang. Tapi banyak perkara yang masih merujuk kepada teknikal.
“Dan kita juga amat bangga dan gembira kerana Soleen juga dipilih pakar teknikal FIFA untuk wilayah ini (Asia Tenggara) dan Oceania. Jadi, banyak perkara yang beliau boleh sumbangkan kepada kita melalui kepakaran FIFA ini.”
Soleen diberi misi membawa skuad wanita negara menduduki kedudukan podium dalam temasya Sukan SEA 2025 di Thailand.
“Kita beri kepada beliau KPI (podium) Sukan SEA akan datang ini dan bukan sebab dia tak menunjukkan prestasi baik. Tetapi disebabkan tiada perlawanan untuk skuad wanita.
“Jadi, tahun ini dan tahun depan (2026) ialah tahun yang baik untuk beliau menunjukkan prestasinya,” ujarnya.