Skuad wanita Korea Selatan Bawah 17 Tahun (B-17) bangkit dalam aksi kedua Kumpulan A Piala Asia Wanita B-17 dengan membelasah Indonesia.
Korea Selatan ingin bangkit selepas dibelasah 7-0 oleh negara jiran, Korea Utara dalam aksi pertama Kumpulan A.
Sementara Indonesia pula berharap dapat mencipta kejutan ke atas pasukan Asia Timur itu selepas tewas 6-1 kepada negara serantau, Filipina.
Babak pertama menyaksikan Taeguk Sonyeo memberi tekanan kepada tuan rumah menerusi tiga peledak mereka, Won Ju-eun, Park Ji-yu dan Kim Hyo-won.
Ini memaksa penjaga gol Indonesia, Gadhiza Ananza bekerja keras menafikan setiap percubaan yang digerakkan Korea Selatan.
Gawang Indonesia akhirnya bocor pada minit ke-13 menerusi Hyo-won. Korea Selatan terpaksa menunggu sehingga minit ke-34 untuk menggandakan kelebihan menerusi Han Guk-hee.
Lima minit kemudian, Beom Ye-ju menyumbat gol ketiga Korea Selatan. Ji-yu dan Ju-eun masing-masing memastikan Taeguk Sonyeo mendahului 5-0 sehingga rehat menerusi gol pada minit ke-41 dan 46.
Bersambung pada babak kedua, Korea Selatan yang dibimbing jurulatih, Kim Eun-jung terus ghairah memburu gol tambahan.
Ju-eun yang juga kapten pasukan memastikan Taeguk Sonyeo makin selesa dengan gol keenam pada minit ke-50. Kim Yee-un menambah gol ketujuh menerusi sepakan penalti pada minit ke-59.
Indonesia makin menderita apabila Ju-eun mencipta hatrik pada minit ke-61. Pemain gantian, Baek Ji-eun menambah gol kesembilan pada minit ke-80.
Ji-eun memastikan Korea Selatan merekodkan kemenangan terbesar dalam Piala Asia Wanita B-17 2024 dengan menyumbat gol ke-10 pada minit ke-83.
Dua minit selepas itu, Ju-eun menjadi penjaring kedua terbanyak kejohanan dengan meledakkan gol ke-11 buat Taeguk Sonyeo. Seorang lagi pemain gantian, Seo Min-jeong memastikan Korea Selatan meraih kemenangan 12-0 menerusi gol pada minit ke-92.
Keputusan ini menyaksikan Indonesia tersingkir daripada kejohanan selepas tewas dua perlawanan Kumpulan A. Manakala Korea Selatan pula menghidupkan peluang untuk layak ke separuh akhir.
Indonesia selepas ini bakal berdepan satu lagi pasukan Asia Timur, Korea Utara pada 12 Mei ini. Manakala Korea Selatan akan menentang Filipina pada hari yang sama.