Korea Selatan meneruskan momentum kemenangan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas menumbangkan China dalam perlawanan yang sengit sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan menurunkan skuad terkuat masing-masing dengan Korea Selatan meletakkan Son Heung-min dan Lee Kang-in dalam kesebelasan utama.
Aksi dimulakan dengan penguasaan yang dipamerkan oleh Korea Selatan dengan hantaran-hantaran yang tepat.
China mempamerkan disiplin bertahan dengan agak baik apabila beberapa kali menggagalkan percubaan awal Korea Selatan.
Peluang keemasan Korea hadir pada minit ke-20 melalui percubaan Son Heung-min namun penjaga gol China, Wang Dalei cemerlang menepis.
Serangan terus ditujukan ke kubu China namun kekebalan benteng China menggagalkan usaha Korea mencetak gol sekali gus menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan mengekalkan kesebelasan utama tanpa membuat sebarang pertukaran.
Hwang In-beom hampir sahaja memberikan pendahuluan buat Korea pada minit ke-48 namun sekali lagi digagalkan benteng China.
Selepas serangan bertali arus dilancarkan, Korea Selatan akhirnya berjaya di hadapan melalui penyudah Lee Kang-in pada minit ke-61 selepas bintang Paris Saint Germain (PSG) menyudahkan peluang terhidang di dalam kotak penalti.
Biarpun sudah mendahului satu jaringan, momentum serangan Korea tidak sesekali dikendurkan sekali gus memaksa China terus bertahan.
Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan. Kekalahan kepada Korea menyaksikan China terpaksa menunggu keputusan satu lagi aksi Kumpulan C di antara Thailand dan Singapura untuk menentukan slot ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 serta slot ke Piala Asia 2027.