Pemain tengah Paris Saint-Germain, Lee Kang-in berpotensi tidak dipanggil menyertai skuad kebangsaan Korea Selatan pada Mac ini.
Portal Kukmin Ilbo melaporkan ini antara pendekatan disiplin yang bakal diambil Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) kerana mencetuskan ketidakharmonian dalam pasukan semasa kempen Piala Asia 2023.
Kang-in bertelagah dengan kapten pasukan, Son Heung-min kerana lebih berminat bermain pingpong daripada makan malam bersama sebagai satu pasukan.
Pertelagahan ini mengakibatkan jari kapten Tottenham Hotspur itu hampir patah. Pertelagahan ini tercetus sehari sebelum perlawanan separuh akhir Piala Asia 2023 menentang Jordan.
Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan 2-0 untuk Jordan dengan Korea Selatan kempunan menamatkan kemarau kejuaraan sejak tahun 1960.
Susulan itu, Jurgen Klinsmann dipecat sebagai jurulatih Korea Selatan. KFA kemudiannya mengumumkan perlantikan Hwang Sun-hong sebagai pengendali interim semalam.
Sun-hong dijangka berdepan dilema kerana sentimen penyokong masih lagi panas terhadap Kang-in meskipun beliau dan Heung-min sudah memohon maaf dan berdamai.
Kang-in merupakan antara tonggak utama skuad Korea Selatan Bawah 23 Tahun (B-23) yang dibimbing Sun-hong.
Malah, bekas pemain tengah Valencia itu menjadi tonggak utama kejayaan Korea Selatan meraih pingat emas Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China.
Sekiranya Kang-in dipinggirkan Sun-hong untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada Mac ini, beliau tidak dapat menambah 25 penampilan antarabangsa yang direkodkan bersama skuad senior Korea Selatan.
Pahlawan Taeguk bakal turun menentang Thailand untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada 21 Mac di Stadium Piala Dunia Seoul.