Selepas dikaitkan dengan ramai jurulatih asing, Korea Selatan membuat kejutan dengan melantik jurulatih Ulsan HD, Hong Myung-bo sebagai pengendali baru pasukan.
Agensi berita Korea Selatan, Yonhap melaporkan Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) telah mencapai persetujuan dengan Ulsan untuk membawa masuk Myung-bo.
KFA akan memberi penerangan lebih lanjut tentang peranan legenda Korea Selatan berusia 55 tahun itu menerusi satu sidang media yang akan diadakan pada 8 Julai ini.
Ini menjadikan kempen Piala Dunia 2026 berpotensi sebagai kempen Piala Dunia ketujuh yang dilalui bekas pemain pertahanan LA Galaxy itu.
Sebelum ini, Myung-bo mengharungi kempen Piala Dunia sebagai pemain sebanyak empat kali iaitu edisi 1990, 1994, 1998 dan 2002. Selepas itu, beliau mengharungi kempen Piala Dunia 2006 sebagai penolong jurulatih kepada jurulatih Belanda, Dick Advocaat.
Ini disusuli tugasnya membimbing Pahlawan Taeguk untuk edisi 2014. Sekiranya Korea Selatan berjaya layak secara merit ke Piala Dunia 2026, ini kali kedua beliau menggalas peranan sebagai jurulatih.
Selain menggalas peranan sebagai jurulatih, Myung-bo juga pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA dari 2017 hingga 2020. Semasa tempoh ini, beliau bertanggungjawab membawa masuk Kim Pan-gon sebagai Pengarah Teknikal KFA.
Kerjasama dua figura ini membawa kepada perlantikan Paulo Bento sebagai jurulatih Korea Selatan dari 2018 hingga 2022. Bento bertanggungjawab membawa Pahlawan Taeguk ke pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia 2022.
KFA mula mencari jurulatih baru selepas memecat legenda Jerman, Jurgen Klinsmann pada Februari lalu. Ini selepas bekas penyerang Tottenham Hotspur itu gagal membawa Korea Selatan ke final Piala Asia 2023.
Sebelum perlantikan Myung-bo dimuktamadkan, ramai jurulatih asing yang dikaitkan dengan jawatan tersebut. Antara yang menunjukkan minat ialah Herve Renard, Senol Gunes dan Steve Bruce.