Korea Utara membuka kempen Kumpulan A Piala Asia Wanita Bawah 17 Tahun (B-17) 2024 dengan kemenangan apabila membelasah Korea Selatan 7-0.
Pertemuan membabitkan kedua-dua negara jiran ini amat dinantikan ramai kerana status kedua-dua pasukan sebagai bekas juara Piala Asia Wanita B-17.
Korea Utara pernah bergelar juara untuk edisi 2007, 2015 dan 2017. Manakala Korea Selatan pula pernah bergelar juara untuk edisi 2005.
Babak pertama menyaksikan Korea Utara mendominasi perlawanan yang berlangsung di Pusat Latihan Bali United, Gianyar, Bali.
Kekentalan barisan pertahanan Korea Selatan memaksa Korea Utara menunggu sehingga minit ke-41 untuk membuka jaringan menerusi Ri Kuk-hyang.
Enam minit kemudian, Korea Utara menggandakan kelebihan mereka menerusi Ho Kyong. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Korea Utara semakin ghairah memburu gol tambahan. Gawang Korea Selatan yang dikawal Woo Su-min bocor lagi buat kali ketiga menerusi Jon Il-chong pada minit ke-47.
Enggan membenarkan gawang mereka bocor lagi, jurulatih Korea Selatan, Kim Eun-jung membuat beberapa pertukaran pemain untuk kembali memantapkan pasukan.
Malangnya, apa yang dimahukan Eun-jung tidak berlaku. Il-chong sekali lagi mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-51.
Tiga minit kemudian, Ho Kyong menambah gol kedua peribadinya bagi menjadikan kedudukan 5-0 kepada Korea Utara.
Choe Rim-jong menambah gol keenam Korea Utara pada minit ke-60. Il-chong kemudiannya mencipta hatrik menerusi gol ketujuh pada minit ke-89.
Gol tersebut memastikan Korea Utara meraih kemenangan besar 7-0 ke atas negara jiran mereka itu. Korea Utara ketika ini mengetuai Kumpulan A dengan tiga mata.
Selepas ini, Korea Utara akan menentang Filipina pada 9 Mei. Manakala Korea Selatan berdepan tuan rumah, Indonesia pada hari yang sama.