Penyerang import Sri Pahang FC, Kpah Sherman masih berharap dapat mewarnai pentas final Unifi Piala Malaysia.
Sepanjang kempen kejohanan itu, penyerang Liberia itu menjadi nadi utama Tok Gajah di bahagian serangan. Ini terbukti apabila Sherman meledakkan tiga gol buat Sri Pahang.
Ini termasuk gol kemenangan dalam aksi separuh akhir kedua menentang Sabah FC pada 2 Februari lalu.
Meskipun begitu, Sherman dan Manuel Hidalgo terpaksa melupakan aksi final kerana perlu menjalani penggantungan perlawanan.
Penyerang berusia 33 tahun itu memaklumkan Sri Pahang sudah menghantar rayuan tentang status penggantungannya.
Sherman berharap rayuan tentang status penggantungannya itu mendapat lampu hijau sekaligus membolehkan beliau beraksi di final.
“(Rayuan sudah dihantar) menerusi CEO (Datuk Muhammad Suffian Awang) dan ahli lembaga pengarah. Sekarang kita tunggu maklum balas MFL,” katanya kepada Nadi Arena.
“Rayuan sudah dihantar dua minggu yang lalu. Sekarang kita tunggu maklum balas FAM dan MFL. Saya harap dapat beraksi di final.
“Dua kad kuning yang saya terima, ia bukan kad merah dan saya tidak membuat terjahan agresif. Jadi, saya harap demi moral penyokong, saya dapat beraksi di final.”
Sri Pahang berharap dapat menjulang trofi Unifi Piala Malaysia buat kali pertama sejak tahun 2014. Tok Gajah bakal menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 26 April ini.