Kenyataan pedas yang dibuat jurulatih Jeonbuk Hyundai Motors, Gus Poyet sebelum perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) pada Mac lalu membawa padah.
Pada 12 Mac lalu, Poyet meluahkan rasa kecewanya kerana terpaksa mengadakan sidang media pra-perlawanan di pusat latihan lawan Jeonbuk ketika itu, Sydney FC.
“Dengan penuh hormat, ini kali pertama saya buat sidang media jauh dari tempat sendiri, di padang latihan pasukan lawan, pada mana-mana tahap – pasukan kebangsaan, Liga Juara-Juara UEFA, pasukan kebangsaan Greece. Sangat pelik. Biasanya diadakan di stadium.
“Mereka tanya saya semalam, saya tak suka. Saya tak rasa ini normal. Saya tak tahu sama ada di Sydney atau Australia macam ini, tapi ini tak betul,” katanya.
Ini disusuli dengan kritikan beliau terhadap keputusan AFC yang mahu perlawanan diadakan di Stadium Yongin Mireu dan bukannya gelanggang keramat mereka, Stadium Piala Dunia Jeonju.
“Jika AFC mahu Liga Juara-Juara Asia 2 di tahap tertinggi, mereka perlu lebih peka dengan tindakan mereka, berlaku adil atau ia tidak berbaloi untuk disertai.
“Jika padang anda esok lebih teruk daripada padang kami di rumah, apa keputusan yang anda dapat? Kenapa itu adil?” ujarnya.
Legenda Chelsea itu turut membidas mutu pengadilan bola sepak di peringkat Asia terutama ACL2. Ini kerana beliau merasakan pengadil hari ini terlampau bergantung kepada VAR.
“Kita juga boleh bercakap tentang VAR. Saya bekas pemain penyerang. Dulu, saya jaringkan gol, tengok penjaga garisan dan jika tiada bendera, saya boleh sambut. Itu bahagian terbaik dalam bola sepak.”
“Seseorang duduk di Malaysia atau Zurich dengan tali leher cuba mengajar kami cara bermain bola sepak. Itu salah. Mereka tetap melakukannya, mereka menyerabutkan pengadil.
“Kini pengadil pergi ke padang dan akhirnya mereka tidak perlu bertanggungjawab. Mereka memiliki kuasa dan mereka menyukainya,” tambahnya lagi.
Kenyataan bekas pengurus Brighton itu tular di media sosial terutama di Malaysia. Ini susulan perkataan Malaysia dinyatakan dalam kenyataan Poyet.
Susulan itu, Korea Football News melaporkan jurulatih berusia 57 tahun itu dikenakan denda sebanyak AS$5,000 (RM21,000) oleh AFC berhubung kenyataan tersebut.
Aksi suku akhir ACL2 membabitkan Jeonbuk dan Sydney menyaksikan wakil Australia itu mara ke separuh akhir selepas meraih kemenangan agregat 5-2.
Jeonbuk kini fokus kepada saingan K-League 1 musim 2025. Pasukan itu ketika ini menduduki tangga kedua liga dengan 18 mata.