Kuartet Malaysia tampil cemerlang apabila menjuarai Piala Asia Sepak Takraw 2025 dalam acara kuadran.
Kejayaan ini dicapai dengan menewaskan wakil Asia Timur, Jepun di peringkat akhir. Aksi ini disifatkan aksi balas dendam buat kuartet Jepun selepas tewas kepada kuartet negara dalam aksi terakhir Kumpulan B.
Malaysia mempertaruhkan Faizzul Razak, Afifuddin Razali, Shahalril Aiman Halim dan kapten, Amirul Zazwan Amir.
Jepun pula menampilkan kuartet yang hampir sama yang diturunkan ketika menentang skuad negara dalam Kumpulan B. Satu-satunya perubahan ialah kemasukan Ryota Haruhara.
Set pertama menyaksikan Malaysia meraih kelebihan selesa pada kedudukan 10-3. Situasi ini mendorong Jepun memasukkan Seiya Takano untuk memperkemaskan rentak kuartet.
Kemasukan Takano tidak dapat membantu Jepun mengurangkan defisit mata. Ini membolehkan Malaysia meraih kemenangan dengan keputusan 15-8.
Set kedua menyaksikan Jepun cuba bangkit. Walau bagaimanapun, kuartet Malaysia sukar digugat dan mendahului pada kedudukan 10-7.
Kedudukan itu terus dipertahankan kuartet negara sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 15-11.
Kejayaan ini dijangka membakar semangat regu Malaysia, Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Zawawi untuk final acara double.
Regu negara bakal menentang musuh tradisi, Thailand di peringkat akhir.