Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak memaklumkan pasukannya tempang akibat masalah kecederaan menjelang aksi suku akhir pertama Piala FA 2024 menentang Selangor FC.
Kuching City berjaya layak ke peringkat suku akhir Piala FA 2024 selepas berjaya menyingkirkan finalis edisi 2023, KL City dalam aksi pusingan 16 pasukan terbaik pada 14 Jun lalu.
Sementara dalam saingan Liga Super pula, The Cats merekodkan tiga keputusan seri dan satu kekalahan. Ini termasuk kejayaan mengikat Terengganu FC 1-1 pada 22 Jun lalu.
Kini, Kuching City berdepan cabaran paling sukar bila berdepan Selangor di Stadium Negeri, Kuching tanpa tiga pemain tonggak yang tersisih akibat kecederaan.
Antara pemain yang terpaksa disisihkan Aidil ialah Daniel Amier, Petrus Shitembi dan Keanu Marsh-Brown. Sementara tahap kecergasan Tchetche Kipre dan Pedro Henrique pula masih dinilai oleh pasukan perubatan.
Aidil berharap masalah kecederaan yang dialami Kipre dan Henrique tidak serius. Ini membolehkan kedua-duanya dapat kembali menyertai The Cats bila menentang Merah Kuning.
“Ya, kita ada (masalah) kecederaan. Sebelum ini, kita ada Danial Amier, (Petrus) Shitembi dan (Keanu) Marsh-Brown. Sekarang kita ada tambahan dua lagi pemain utama di mana situasinya 50-50, Tchetche Kipre dan Pedro (Henrique).
“Jadi, harapnya dalam tempoh satu atau dua hari, ada perubahan. Insya Allah, mereka akan bersedia dan berada dalam keadaan 100%,” katanya dalam temu bual pra-perlawanan di Astro Arena.
Kuching City bakal berdepan Selangor untuk aksi suku akhir pertama pada 29 Jun. Ini disusuli aksi suku akhir kedua di Stadium MBPJ pada 6 Julai.