Walaupun usianya sudah mencecah 54 tahun, Kazuyoshi Miura terus aktif bermain bola sepak. Selepas hanya membuat penampilan selama seminit di Yokohama FC musim lepas, beliau memilih untuk turun ke divisyen empat Jepun dan menyertai kelab Suzuka Point Getters.
Pengumuman penyertaan beliau dalam pasukan itu dibuat pada hari ini (11 Januari) pada jam 11.11 pagi. Miura dijangka menyarung jersi nombor 11 di kelab yang diuruskan abangnya, Yasutoshi Miura. Sebelum ini, beliau pernah beraksi di Brazil, Australia, Itali dan Croatia selain menempa nama sebagai legenda di Liga-J.
Dalam satu kenyataan selepas menyertai The Racers, Miura berkata, “Saya bersyukur diberi peluang bermain di sini.” Sebelum itu, beliau mendedahkan Yokohama menawarkan kontrak baru kepadanya selepas tersingkir ke divisyen dua Jepun. Bagaimanapun, Miura menolak tawaran mereka dengan baik kerana mahu diberi peluang beraksi lebih lama di atas padang.
Dianggap antara pelopor generasi pemain Samurai Biru, King Kazu berkelana ke Brazil pada 1982 dan menandatangani kontrak profesional pertama dengan Santos. Pada tahun 1990, Miura membuat kemunculan pertama bersama pasukan kebangsaan Jepun. Tetapi pada temasya Piala Dunia 1998, beliau tidak dipanggil menyertai Samurai Biru oleh jurulatih Perancis Philippe Trousier walaupun menjaringkan 55 gol dalam 89 perlawanan antarabangsa.
The Racers sebelum ini menarik perhatian ramai peminat bola sepak Jepun dengan melantik pengurus wanita pertama Mila Martinez dari Sepanyol pada 2019. Ini selepas mereka tertarik dengan usahanya bersama pasukan bola sepak wanita Albacete. Bagaimanapun, pada Julai tahun lepas, kontraknya ditamatkan secara bersama atas persetujuan kedua-dua pihak.