Bek tengah Harimau Malaya, Dion Cools memastikan rekod tanpa kalah Buriram United terus bertahan dengan membantu mereka mengalahkan Sukhotai 1-0 di Stadium Thung Thalay Luan hari ini.
Kedua-dua pasukan tahu kemenangan boleh melonjakkan mereka ke tempat kedua Thai League 1 buat sementara waktu. Atas sebab itu, tuan rumah berusaha mencari kelebihan awal pada babak pertama.
Dan Sukhotai hampir meraih gol pembukaan pada minit ke-33. Bagaimanapun, tuan rumah hampa apabila pembantu pengadil video (VAR) membatalkan gol tersebut.
Bersambung pada babak kedua, Thunder Castle terus menggandakan asakan bagi memburu gol pembukaan.
Kesabaran mereka memburu gol akhirnya membuahkan hasil apabila Supachai Chaided menyumbat gol pertama perlawanan pada minit ke-62. Menariknya, Cools turut bertindak mencipta bantuan gol untuk Supachai.
Sukhotai berusaha mencari gol penyamaan tetapi gagal. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini membolehkan Thunder Castle memintas Chiangrai di tangga kedua liga buat sementara waktu dengan tujuh mata. Dan kedudukan ini boleh saja kekal sekiranya Chiangrai kekal terikat 0-0 dengan Trat.
Bagi Cools, ini merupakan tonik terbaik buat dirinya sebelum menyertai kem Harimau Malaya untuk kalendar antarabangsa FIFA pada September ini.