Bintang baru Real Madrid, Kylian Mbappe merancang untuk mengambil alih kelab Ligue 2, Stade Malherbe Caen.
Portal berita Perancis, Ouest-France melaporkan minat itu timbul selepas pemegang saham majoriti Les Vikings dari Amerika Syarikat, Oaktree Capital Management mahu menarik diri.
Meskipun Oaktree tidak menyatakan sebab di sebalik keputusan itu, ini mungkin berkait dengan hakikat firma itu kini menjadi pemilik kelab gergasi Itali, Inter Milan. Pemilikan Inter jatuh ke tangan Oaktree selepas pemilik sebelumnya, Suning gagal membayar pinjaman sebanyak €395 juta (RM2 bilion).
Keputusan itu telah dinyatakan kepada pemegang saham minoriti Caen, Pierre-Antoine Capton. Lantaran itu, Les Vikings mula mencari pemegang saham baru sebagai pengganti Oaktree.
Ibu Mbappe, Fayza Lamari dilaporkan mengetuai rundingan pengambilalihan dengan pengurusan Les Vikings. Usaha ini merupakan sebahagian daripada usahanya mengembangkan lagi perniagaan keluarga Mbappe yang diketuainya.
Selain bertanggungjawab menguruskan karier Mbappe dan adiknya, Ethan Mbappe, Lamari turut bertanggungjawab menguruskan yayasan kebajikan IBKM (Inspired by Kylian Mbappe).
Sebelum menyertai AS Monaco, pemain berusia 25 tahun itu pernah mendapat tawaran Caen tetapi tidak berhasil. Ini selepas kelab itu tersingkir dari Ligue 1 pada 2013 sekaligus membawanya ke Monaco.
Mbappe bakal diperkenalkan secara rasmi di Bernabeu sebagai pemain baru Real Madrid pada 16 Julai. 80,000 penyokong dijangka hadir untuk melihatnya buat kali pertama menyarung jersi Los Blancos.