Menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Malaysia pada 6 Jun ini, Kyrgyzstan telah membuat rombakan dengan membawa masuk beberapa pemain muda.
Rombakan ini merupakan sebahagian daripada aspirasi jangka panjang jurulatih The White Falcons, Stefan Tarkovic untuk membentuk generasi baru pasukan itu.
Antara pemain muda yang dipilih Tarkovic untuk skuad kali ini ialah Adilet Kanyebekov, Mirlan Bekberdinov, Nurbol Baktybekov dan Emir-Khan Kydyrshaev.
“Pemain-pemain seperti Kanybekov, Bekberdinov, Baktybekov dan Kydyrshaev dipanggil ke skuad senior Kyrgyzstan. Falsafah kami adalah secara memasukkan pemain muda secara beransur-ansur.
“Kami mahu pasukan kebangsaan mempunyai generasi yang kuat di masa depan, yang hanya dapat dicapai dengan memperoleh pengalaman yang diperlukan.
“Pada masa yang sama, kami berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang kompetitif dalam pasukan kebangsaan yang akan memotivasikan pemain untuk berkembang.
“Semua pemain mempunyai peluang untuk menunjukkan kualiti dan perjuangan mereka untuk masuk ke dalam skuad akhir untuk perlawanan yang paling penting dalam kejohanan kelayakan Piala Dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain mereka, Tarkovic turut memanggil semula Alimardon Shukurov dan Kayrat Zhyrgalbek. Shukurov sebelum ini terpaksa disisihkan kerana masalah kecederaan.
Sementara Zhyrgalbek pula disisihkan Tarkovic daripada pemilihan skuad kebangsaan pada Mac lalu akibat masalah disiplin. Selepas kedua-dua pihak mengadakan perbincangan tentang isu itu, jurulatih Slovakia itu sedia memberi peluang kepadanya.
Malaysia dan Kyrgyzstan bakal berentap di Bishkek pada 6 Jun ini. Kemenangan diburu oleh kedua-dua pasukan di mana ini akan menentukan sama ada mereka layak ke pusingan ketiga kelayakan atau tidak.