Biarpun tewas kepada Malaysia, Kyrgyzstan boleh menarik nafas lega apabila berjaya mengutip tiga mata penuh ketika menewaskan Oman 1-0 dalam aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Spartak semalam.
Dengan kemenangan itu, Kyrgyzstan berjaya mengekalkan kedudukan ranking mereka di tangga ke-97 dunia manakala berbeza buat Oman yang terpaksa akur jatuh tiga anak tangga ke kedudukan 75 dunia.
Oman memulakan kempen kelayakan dengan langkah kanan selepas menepati ramalan menewaskan Taiwan dengan keputusan 3-1. Untuk kemenangan itu, Oman menerima tambahan mata ranking sebanyak 6.12 mata.
Namun kekalahan yang dialami Oman di tangan Kyrgyzstan memaksa mata ranking mereka ditolak 15.60 mata. Penolakan mata yang banyak itu menyaksikan beberapa negara mula memotong kedudukan Oman seperti Ireland Utara dan Honduras.

Manakala bagi Kyrgyzstan, mereka berjaya menambah 0.10 mata untuk terus kekal di tangga ke-97 dunia. Ketika tewas kepada Malaysia tempoh hari, mata ranking Kyrgyzstan ditolak sebanyak 15.49 mata.
Namun mata yang ditolak tersebut berjaya dilenyapkan dengan kemenangan ke atas Oman apabila mereka mendapat tambahan mata sebanyak 15.60 mata. Ini bermakna 0.10 mata berjaya ditambah hasil daripada keputusan dua perlawanan mereka.
Oman dan Kyrgyzstan kini berada di kedudukan kedua dan ketiga Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan masing-masing mengumpul 3 mata hasil satu kemenangan. Malaysia di tangga teratas dengan 6 mata manakala Taiwan di tangga terbawah tanpa sebarang mata.