Kyrgyzstan Hadapi Malaysia Tanpa Tekanan
MakanBola
FA Malaysia

Kyrgyzstan tidak perlu merasai tekanan berdepan Malaysia dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 yang dijadualkan pada 6 Jun di Stadium Spartak.

Menurut bekas pemain bola sepak kebangsaan, Asmawi Bakiri, Kyrgyzstan tidak merasai tekanan kerana hanya keputusan seri yang diperlukan mereka untuk mara ke pusingan kelayakan seterusnya.

Kyrgyzstan kini mengumpul 9 mata dengan 3 mata berkelebihan berbanding Malaysia yang mengumpul 6 mata. Jika seri dengan Malaysia, ianya seakan-akan mengesahkan kemaraan Kyrgyzstan ke pusingan seterusnya bersama-sama Oman yang turut mengumpul 9 mata setakat ini.

“Dari segi susunan perlawanan (Kelayakan Piala Dunia 2026), kita perlu menang di sana (Kyrgyzstan). Kerana kita tahu, kita ada 6 mata. Mereka ada 9 mata bersama-sama Oman.

“Mereka hanya perlu seri untuk layak ke pusingan seterusnya. Kita tiada cara lain, kena menang dalam perlawanan tersebut (menentang Kurgyzstan),” jelas Asmawi Bakiri di Astro Arena.

Malaysia bakal berdepan Kyrgyzstan dengan tanpa kehadiran beberapa tonggak utama seperti Faisal Halim, Arif Aiman, Romel Morales dan Darren Lok akibat kecederaan.

Berkemungkinan besar, Malaysia perlu mengharapkan sentuhan trio serangan yang berbeza seperti gandingan Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Paulo Josue dalam dua perlawanan kelayakan seterusnya menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei.