Jaringan di awal babak pertama memastikan impian Kyrgyzstan untuk layak ke peringkat seterusnya menjadi kenyataan setelah mengikat Oman dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Oman yang sudah menempah tiket terlebih dahulu turun di laman sendiri untuk aksi terakhir menentang Kyrgyzstan yang memerlukan keputusan positif bagi mengesahkan tempat setelah kejayaan skuad negara meraih tiga mata.
Kedua-dua pasukan menampilkan barisan terbaik dalam misi memburu kemenangan dengan Joel Kojo mengetuai jentera serangan Kyrgyzstan sementara Oman diketuai oleh Mohammed Al-Musalami.
Perlawanan bermula dengan baik buat pelawat apabila berjaya membuka tirai jaringan menerusi penyudah kaki kanan Eldiyar Zarypbekov untuk meletakkan Kyrgyzstan mendahului 1-0 pada minit ke-19.
Oman berusaha bangkit memburu jaringan penyamaan menerusi gandingan Salaah Al-Yahyaei dan Muhsen Al Ghassani namun anak buah Jaroslav Silhavy terus buntu merobek gawang Kyrgyzstan.
Separuh masa pertama tamat, Oman 0-1 Kyrgyzstan.
Kembali dari rehat, Oman tidak menunggu lama untuk mencipta jaringan pertama hasil gol sendiri penjaga gawang Kyrgyzstan, Erzhan Tokotaev 12 minit setelah babak kedua bersambung.
Kedua-dua pasukan melakukan beberapa pertukaran bagi menambah sengat di jentera serangan dengan Kyrgyzstan membawa masuk bekas penyerang Kelantan United, Ernist Batyrkanov.
Aksi di Kompleks Sukan Sultan Qaboos berakhir dengan Oman dan Kyrgyzstan sekadar terikat seri 1-1 sehingga perlawanan berakhir.
Dengan keputusan ini, Oman mengakhiri aksi kelayakan ini sebagai juara kumpulan D dengan 13 mata sementara Kyrgyzstan mengiringi kemaraan hasil kutipan 11 mata daripada enam perlawanan.
Malaysia pula terpaksa berpuas hati menamatkan cabaran di tempat ketiga dengan 10 mata dan Chinese Taipei di tangga terakhir tanpa sebarang mata dapat dikutip sepanjang aksi peringkat kumpulan.