La Liga: Jude Bellingham Wira Real Madrid Atasi Barcelona
MakanBola
Real Madrid CF
Sponsors

Jude Bellingham muncul wira Real Madrid dengan menyumbat dua gol dalam perlawanan El Clasico menentang Barcelona hari ini.

Perlawanan hari ini lebih istimewa buat pemain muda berusia 20 tahun itu. Ini kerana beliau merupakan pemain Inggeris pertama beraksi dalam El Clasico sejak Oktober 2006.

Ad
Sponsors

Namun begitu, bekas kapten Manchester City, Ilkay Gundogan mencipta memori tersendiri untuk El Clasico dengan menyumbat gol pertama pada minit keenam.

Ad

Gol tersebut merupakan gol pertama pemain berdarah Turki-Jerman itu sejak menyertai Barca secara percuma dalam tetingkap perpindahan musim panas lepas.

Walaupun kedua-dua pasukan merekodkan lima percubaan, percubaan tepat Gundogan memastikan Barcelona mendahului 1-0 semasa rehat.

Ad

Bersambung pada babak kedua, Los Blancos meningkatkan serangan ke arah kubu pertahanan Blaugrana.

Ad

Bagaimanapun, mereka bernasib baik apabila percubaan pemain pertahanan, Joao Cancelo pada minit ke-58 tidak mengenai sasaran.

Real Madrid akhirnya meraih gol penyamaan menerusi Bellingham pada minit ke-69.

Graduan akademi Birmingham City itu melepaskan rembatan jarak jauh yang gagal ditepis penjaga gol Barca, Marc Andre Ter-Stegen.

Ini menjadikan Bellingham sebagai pemain Inggeris pertama menjaringkan gol dalam El Clasico sejak tahun 2005.

Dengan perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, bekas pemain tengah Borussia Dortmund itu menceriakan penyokong Los Blancos dengan jaringan kedua pada minit akhir perlawanan.

Gol berkenaan merupakan gol ke-13 beliau bersama Real Madrid dalam La Liga musim ini.

Kemenangan ini sudah cukup membantu Madrid kembali mendahului La Liga dengan 28 mata. Sementara Blaugrana pula kekal di tangga ketiga kumpulan dengan 24 mata.