Hasrat Real Madrid untuk merapatkan kedudukan dengan pendahulu La Liga, Barcelona tidak kesampaian apabila tewas teruk di gelanggang sendiri di tangan Barcelona awal pagi tadi.
Kedua-dua pasukan turun dengan barisan terkuat dengan Kylian Mbappe menjadi harapan utama Real Madrid dalam mencari jaringan manakala Robert Lewandowski menjadi penyerang tunggal buat Barcelona.
Barcelona turut mencuri tumpuan apabila menurunkan ramai pemain muda dalam aksi tersebut seperti Marc Cassado (21 Tahun), Fermin Lopez (21 tahun), Pau Cubarsi (17 tahun) dan Lamine Yamal (17 tahun).
Perlawanan dimulakan dengan kedua-dua pasukan tampil dengan aksi menyerang namun penguasaan lebih terarah kepada Barcelona.
Minit ke-11, Mbappe mempunyai peluang keemasan untuk memberi pendahuluan buat Real Madrid namun percubaannya tersasar.
Real Madrid terus menyerang bertubi-tubi ke arah gawang Barcelona melalui bebera percubaan merbahaya namun ketumpulan penyudah menjadi penghalang.
Kyllian Mbappe seharunsya meletakkan Real Madrid di hadapan pada minit ke-31 namun jaringan yang dihasilkan dibatalkan kerana ofsaid.
Kedudukan kekal terikat tanpa jaringan menamatkan separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Barcelona memperkemaskan corak permainan dengan merencana serangan lebih berbisa.
Hasilnya, Robert Lewandowski meletakkan Barcelona di hadapan pada minit ke-54 melalui rembatan leret menewaskan Curtois di gawang Real Madrid.
Dua minit selepas itu, Lewandowski sekali lagi meledak menerusi tandukan tajam selepas menyambar hantaran Alejandro Balde.
Ketinggalan dua jaringan, Real Madrid cuba bangkit dengan Mbappe hampir merapatkan kedudukan pada minit ke-63 namun percubaannya dalam situasi satu lawan satu diselematkan penjaga gol, Inaki Pena.
Lamine Yamal menggembirakan penyokong Barcelona dengan jaringan ketiga pada minit ke-77 hasil rembatan deras selepas menyempurnakan hantaran daripada Raphinha.
Raphinha menutup malam gemilang Barcelona dengan jaringan keempat pada minit ke-84 dengan jaringan menarik untuk memberikan kemenangan mutlak 4-0 buat Barcelona.
Kemenangan ini menjadikan Barcelona bertambah selesa di puncak liga mengumupul 30 mata selepas 11 perlawanan, 6 mata di atas Real Madrid yang hanya mengumpul 24 mata selepas 11 perlawanan.