Legenda Arsenal, Sol Campbell percaya Arsenal memiliki peluang terbaik untuk meraih gelaran juara Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Ramalan itu dibuat bekas bek tengah England itu bila diminta memilih pasukan mana yang akan layak ke peringkat separuh akhir dan final UCL.
Arsenal dijadual bertemu dengan Real Madrid untuk aksi suku akhir pertama di Stadium Emirates pada awal pagi 9 April. Ini disusuli aksi timbal balik pada 17 April.
Meskipun anak buah Carlo Ancelotti dilihat memiliki kelebihan selaku juara bertahan, Campbell tetap memilih Arsenal sebagai pilihan untuk mara ke separuh akhir.
Bekas jurulatih Macclesfield Town itu turut menjangkakan The Gunners tidak akan berdepan masalah seandainya bertemu Paris Saint-Germain (PSG) di peringkat separuh akhir atau Bayern Munich di final.
Walaupun yakin dengan peluang pasukan lamanya, Campbell berharap Arsenal berhati-hati dengan ancaman yang dihadirkan penyerang Real Madrid, Vinicius Jr.
“Mereka perlu sedar tentang ancaman yang dibawa Vinicius (untuk Real Madrid) dari sebelah kiri,” katanya kepada Metro.
“Jurrien Timber sudah melakukan tugas yang bagus di bahagian bek kanan. Tetapi anda tidak boleh kerap meninggalkan beliau bersendirian dalam senario satu lawan satu.
“Ini kerana terdapat beberapa pemain saja di dunia ini yang lebih bagus dalam situasi itu selain Vini. Beliau akan memberi kesukaran kepada anda, jadi Timber atau (Ben) White memerlukan bantuan di situ.”
Arsenal kembali diperkuatkan dengan kehadiran semula pemain sayap England, Bukayo Saka. Selepas berehat panjang akibat kecederaan, Saka telah merekodkan dua penampilan sebagai pemain gantian baru-baru ini.
Ini termasuk aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL) di mana The Gunners diikat 1-1 oleh Everton.