Lagu-Lagu Yang Tercipta Kerana Tragedi Kanjuruhan
Blog
Stadion Kanjuruhan
Advertisements

Tanggal 1 Oktober 2022 merupakan tanggal duka yang pasti diingati seluruh Indonesia dan seisi dunia. Ia adalah tanggal hitam bagi dunia bola sepak.

Tragedi Kanjuruhan mengorbankan 131 jiwa (angka terkini dan dipercayai paling benar setakat ini jika tiada lagi pengumuman rasmi).

Pelbagai spekulasi, pelbagai pihak dituding salah dan menuding balik; pelbagai versi cerita daripada pelbagai mereka yang ‘berpihak’.

Advertisements

Ia adalah kejadian yang sangat meruntun jiwa – menyebabkan Presiden Jokowi masuk campur; menyebabkan penubuhan TGIPF (Tim Gabungan Indepen Pencari Fakta), menciptakan gerakan mendesak Presiden PSSI letak jawatan, memaksa pengulas sukan terkenal di Indonesia Valentino Simanjuntak ‘hiatus’ daripada mengulas bola sepak Liga 1 Indonesia.

Sehingga kini sudah ada enam suspek yang diumumkan termasuk – Pengarah PT LIB (PT LIB setara dengan MFL jika di Malaysia), Ketua Panitia Pelaksana bagi Arema FC, Security Officer dan tiga lagi jawatan yang berkaitan dengan kepolisian. Senarai ini dipercayai bakal bertambah.

Lagenda Hidup Indonesia Ikut Berduka

Iwan Fals, lagenda hidup Indonesia turut memberikan respon terhadap tragedi Kanjuruhan ini dengan menciptakan lagu yang berjudul sama iaitu Kanjuruhan.

Advertisements

Kita mengetahui bahawa Iwan Fals selalu menerbitkan lagu-lagu yang penuh dengan kritik sosial, pesan menjaga alam; amarah pada situasi politik Indonesia yang selalu lucu, bahkan terdapat beberapa buah lagu yang diciptakan kepada anak-anak beliau.

Beliau yang sedang sibuk dengan rangka promosi lagu terbaharu beliau Kabar Aroma Tanah (album Pun Aku) memuatnaik lagu Kanjuruhan di saluran YouTube rasmi beliau pada tanggal 5 Oktober 2022, hanya empat hari setelah kejadian.

Iwan Fals memang genius dalam menciptakan karya. Dengarkan lagu ini dengan mata terpejam dan hayati liriknya – pasti kita merasai betapa luluhnya hati Iwan Fals; seorang pencinta bola sepak dengan tragedi yang terjadi di Stadium Kanjuruhan ini.

Advertisements

Muridnya Turut Sama Berduka

Jika anda penggemar dan penikmat muzik Indonesia seperti saya, pasti anda tahu; banyak pihak melabelkan Jason Ranti dan Iksan Skuter sebagai penerus Iwan Fals – kerana dua penyanyi yang ‘sukar diatur ini’ gemar ‘bermain di pinggir jurang’ dengan lagu serta lirik mereka, sama seperti Iwan Fals.

Ada pihak melabelkan genre muzik mereka berdua sebagai Folk Kritik. Sehingga kini, hanya Iksan Skuter yang mengikuti jejak Iwan Fals dengan memberikan respon kepada tragedi Kanjuruhan dengan karya lagu.

Mungkin kerana Iksan Skuter sangat dekat dengan kota Malang. Penyanyi yang terkenal dengan lagu Bingung, Partai Anjing dan Jangan Seperti Bapak ini (sekadar beberapa karya besar beliau) berkuliah dan terus menetap di Malang setelah tamat kuliah.

Advertisements

Sama seperti Iwan Fals, Iksan Skuter merespon tragedi Kanjuruhan dengan ini dengan karya.

Malah beliau boleh dikatakan melebihi idola beliau itu apabila memuatnaik dua buah lagu di saluran YouTube rasmi beliau iaitu Oktober Hitam (2 Oktober 2022) dan Oh, Malangnya Malang (4 Oktober 2022) – kedua-duanya bercerita tentang tragedi Kanjuruhan.

Sekali lagi, jika kita mendengarkan dua lagu ini dengan mata terpejam dan menghayati liriknya sedalam-dalamnya; pasti secara tidak sedar ada air yang ingin jatuh daripada pelipis mata kita.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram