Bakat besar yang dimiliki pemain sayap negara, Arif Aiman Hanapi terus menjadi tumpuan peninjau bakat.
Terbaru, Emirhan Scouting mempersembahkan analisis mereka tentang tonggak utama Harimau Selatan itu awal pagi tadi.
Dari segi kelebihan yang dimiliki pemain berusia 21 tahun itu, Arif kelihatan tenang setiap kali menerima dan mengawal bola. Ini ditambah dengan kemahiran teknikal yang menakjubkan yang dimilikinya bila melepasi kawalan pihak lawan.
Arif juga banyak mencipta hantaran-hantaran tepat kepada rakan sepasukannya menerusi visi dan kepintarannya dari segi membuat keputusan.
Pemain sayap kebangsaan itu juga mampu melakukan rembatan menggunakan kedua-dua kaki. Ini sekaligus menyukarkan pihak lawan merantai Arif setiap kali beliau membuat percubaan.
Kepelbagaian yang dimiliki beliau menjadikannya sebagai aset penting buat mana-mana pasukan dari Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) hinggalah Harimau Malaya.
Di sebalik semua ini, Emirhan percaya ada aspek yang boleh ditambahbaik Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Negara (ABN) 2022 itu.
Antara syor Emirhan dalam analisisnya ialah Arif tidak terlalu tamak bila menerima peluang. Sebaliknya, beliau menghantar bola kepada rakan sepasukan lain jika mereka pada kedudukan yang lebih baik.
Selain itu, Emirhan juga melihat visi yang dimiliki pemain sayap Harimau Selatan itu patut dimanfaatkan dengan lebih kerap. Ini kerana ini dapat membantu pasukan beliau menggerakkan serangan dengan lancar.
Dari segi aspek pertahanan, Arif diharap dapat meningkatkan kekuatan dari segi fizikal. Ini akan membantu beliau memenangi perebutan bola dan tidak mudah dibuli oleh pertahanan lawan.
Pemain sayap JDT itu turut digalakkan meningkatkan visi dari segi kedudukan pertahanan. Visi sebegini dapat membantunya menjangkakan pergerakan pihak lawan dan membantu pertahanan pasukan.
Arif juga disyorkan agar bijak memilih masa yang tepat bila dan di mana kedudukan untuk menekan pihak lawan.
Dengan usianya yang masih muda, beliau mempunyai masa untuk meningkatkan kualiti permainannya ke tahap yang lebih tinggi.
Yang pasti, kelibatnya di atas padang menjadikan Arif sebagai aset utama pasukan terutama apabila Malaysia mendepani Piala Asia 2023.