Lambakan kulit kuaci yang dibuang penyokong dilihat punca saluran air Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) tersumbat.
Isu ini dikesan pengurusan SSMZA setiap kali menjalankan proses penyelenggaraan dan pembersihan sekitar kawasan stadium.
Ini termasuk perlawanan suku akhir pertama Piala FA 2024 antara Terengganu FC dan Sabah FC di SSMZA pada 28 Jun lalu.
Pengurusan stadium berpandangan seandainya isu ini berterusan, isu ini akan mengakibatkan limpahan air mencurah-curah atau air terjun dalam stadium.
Ini sekaligus akan merosakkan nama baik SSMZA lebih-lebih lagi sekiranya imej berkenaan dikesan dan gambarnya dimuat naik di platform media sosial.
“Sudah lama pihak pengurusan stadium mengharamkan aktiviti penjualan kuaci dalam stadium semasa perlawanan bolasepak diadakan. Antara puncanya adalah saluran air akan tersumbat disebabkan oleh kulit kuaci.
“Jika hujan lebat melanda sudah pasti akan menjelma gambar-gambar Waterfall Viral dan akan dikongsikan pada setiap halaman di media sosial. Punca adalah dari tangan kita para penyokong sendiri,” kata pihak pengurusan dalam satu kenyataan.
Pengurusan SSMZA turut memaklumkan semua bentuk penjualan kuaci di stadium diharamkan selepas ini. Pengurusan stadium juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan perkara ini tidak berulang.