Isu lampu limpah di Stadium Majlis Perbandaran Manjung menjadi punca aksi Perak FC dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) diadakan pada petang 10 November ini.
Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Pengurus Besar Perak, Neow Choo Seong dalam satu sidang media yang diadakan di Manjung pada 15 Oktober lalu.
Choo Seong memaklumkan sistem lampu limpah yang digunakan untuk stadium berkenaan tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk aksi pada waktu malam.
Ini menyebabkan semua aksi Liga Malaysia (Liga M) membabitkan Perak di Manjung termasuk aksi menentang JDT diadakan pada waktu petang.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sudah memberi komitmen untuk menaik taraf sistem lampu limpah secepat mungkin.
“Buat masa sekarang, semua perlawanan akan diadakan pada waktu petang. Majlis Perbandaran Manjung masih dalam usaha menaik taraf dan memastikan lampu limpah itu setaraf dengan kehendak dan kriteria MFL.
“Jadi, kita tengah berusaha untuk naik taraf untuk memenuhi piawaian. (Tempoh) masa penaiktarafan mungkin dua, tiga bulan, belum ada ketetapan lagi.
‘Tapi Majlis Perbandaran Manjung telah memberi komitmen untuk selesaikan penaiktarafan (lampu limpah) secepat mungkin. Dan mungkin selepas itu, kita akan beraksi pada waktu malam,” katanya.
Terdahulu, aksi Harimau Selatan dan The Bos Gaurus yang sepatutnya berlangsung di Stadium Perak pada 5 Oktober lepas ditangguhkan lagi buat kali kedua.
Penangguhan perlawanan terpaksa dilakukan atas sebab cuaca hujan lebat dan keadaan padang yang digenangi air.