CEO Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin menganggap geran dan sumbangan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) tiada unsur peribadi.
Baru-baru ini, KBS telah bersetuju untuk menawarkan geran bernilai RM500 ribu kepada setiap negeri untuk menyelenggara sistem saliran (RM300 ribu) dan penukaran rumput (RM200 ribu).
Manakala baginda TMJ pula berkenan menyalurkan sejumlah RM4.2 juta untuk dibahagikan kepada setiap kelab Liga Super untuk penyelenggaraan rumput bagi setiap bulan.
Bagi Bobie, langkah yang diambil KBS dan TMJ itu dilihat menjurus kepada kemajuan industri bolasepak dalam negara dan tiada sedikit pun unsur peribadi.
“Saya sebagai individu yang tiada kepentingan dalam industri ini melihat langkah KBS serta tawaran dari Yang Mulia Tengku Mahkota Johor tiada unsur unsur kepentingan peribadi malah langkah ini dilihat menjurus kepada kemajuan industri bolasepak dalam negara.
“Sebagai kelab yang tidak mempunyai aset sendiri, tawaran ini dibuat kepada Kerajaan Negeri yang memiliki aset negara ini,” coret Bobie di dalam laman Facebook TBG Super Fan.
Dalam pada itu, Bobie berharap para peminat bola sepak tanah air dapat menerima cadangan dari KBS dan TMJ ini agar sukan bola sepak ini akan terus berkembang.
“Sebagai Peminat yang menyayangi team negeri masing masing, kita perlu terima yang cadangan untuk penambahbaikan stadium sedia ada perlu dilakukan untuk sukan ini terus berkembang .
“Sekali lagi hentikan lah persepsi negatif yang bersarang diotak otak yang hanya tau cakap tapi tak buat apa apa. Majulah sukan untuk negara,” jelas Bobie lagi.
Peruntukan geran dari KBS dan juga sumbangan dari TMJ itu dikongsikan dalam Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia & Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024-2025.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Tunku Mahkota Johor, Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Hannah Yeoh Tseow Suan.