Jurulatih Laos, Vladica Grujic yakin pasukan itu mampu mencipta kejutan ke atas tuan rumah, Malaysia menjelang aksi kedua Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026.
Jurulatih Serbia itu optimis kerana beliau melihat dalam bola sepak, tiada yang mustahil termasuk kejutan ke atas pasukan ternama.
Meskipun anak buahnya dibelasah 5-0 oleh Thailand dalam aksi sebelumnya, Grujic percaya kejutan mampu dilakar ke atas Malaysia. Keyakinan itu turut disokong dengan kejayaan mereka mengikat Thailand 1-1 pada tahun lalu.
“Saya nak jawab dulu tentang (perbezaan) kualiti bola sepak Malaysia dan Laos. Kita di Laos bermain dalam liga amatur di mana di Malaysia pula, (Liga Malaysia (Liga M) ialah liga profesional,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
“Walau bagaimanapun, sudah tentu kita boleh mencipta kejutan. Bola sepak ini gila, anda boleh menang dan anda boleh tewas. Macam kita tewas 5-0 dengan Thailand tempoh hari, satu tamparan besar kepada semua orang terutama kita.
“Tetapi pada tahun lepas, kita bermain dan mengikat mereka 1-1. Anda tak tahu apa yang akan berlaku. Tetapi saya boleh katakan Malaysia antara tiga pasukan terbaik Asia Tenggara dan kita menghormati mereka. Dan kita cuba mencari peluang (mencipta kejutan) esok.”
Laos bakal turun menghadapi Malaysia pada 28 Julai ini tanpa beberapa tonggak. Selain isu kecederaan, mereka juga kehilangan Phetdavanh Somsanith yang perlu menjalani penggantungan perlawanan.
Phetdavanh berdepan situasi itu selepas dilayangkan kad merah dalam aksi pertama Kumpulan B menentang Thailand.