Advertisements
Joan Laporta Buktikan Orang Yang Tepat Pegang Kelab Mampu Beri Impak Positif
Dunia
MakanBola
Getty Images

Barcelona kini kembali mempamerkan aksi cemerlang setelah ditimpa pelbagai masalah serta mengharungi musim yang sukar sejak musim lalu. Malah perlawanan El Clasico kembali ‘bernyawa’ setelah mereka memberikan aksi yang sengit kepada Real Madrid setelah beberapa kali perlawanan El Clasico kerap berakhir dengan kemenangan Real Madrid.

Sejak Joan Laporta kembali memegang tampuk presiden Barcelona daripada Josep Bartomeu, Laporta berjaya mengawal kelab tersebut kembali ke landasan yang benar walaupun sewaktu awal pelantikan Laporta, kelab Barcelona dikelilingi hutang yang tinggi (€1.35 bilion) malah Barcelona turut gagal mengawal struktur gaji.

Joan Laporta Joan Laporta Buktikan Orang Yang Tepat Pegang Kelab Mampu Beri Impak Positif
Juan Laporta

Ini menyebabkan bintang mereka, Lionel Messi terpaksa dilepaskan kerana kelab tidak mampu membayar gaji Messi yang terlalu tinggi. Malah ketiadaan Messi telah mengurangkan sedikit beban kewangan kelab. Daripada segi perpindahan pemain, Barcelona juga hanya mendapatkan pemain seperti Memphis Depay, Eric Garcia dan Sergio Aguero secara percuma. Lebih mengejutkan, Emerson Royal yang dibeli dengan harga €14 juta kembali dijual dengan harga €25 juta kepada Tottenham dalam jendela perpindahan yang sama.

Perkara tersebut membuktikan betapa besarnya masalah kewangan Barca. Setelah menjual dan melepaskan beberapa pemain, Laporta kemudian melakukan pinjaman wang sekitar €100 juta daripada bank Amerika bagi melunaskan gaji pemain yang tertunggak menurut laporan ESPN. Laporta berjaya mengurangkan defisit masalah kewangan Barca namun masalah lain yang timbul ialah prestasi Barcelona diatas padang yang semakin merudum.

Xavi Hernandez III Joan Laporta Buktikan Orang Yang Tepat Pegang Kelab Mampu Beri Impak Positif
Xavi

Laporta kemudian memecat Ronald Koeman pada bulan Oktober 2021 setelah 14 bulan Koeman mengendalikan Barcelona. Xavi kemudian dilantik sebagai pengurus baharu Barcelona dengan harapan bekas pemain tersebut dapat mengembalikan aura Barcelona yang dahulu. Pada awalnya Xavi dilihat bergelut untuk mengubah Barcelona namun setelah diberikan masa, Xavi kini memimpin Barcelona ke tangga ketiga La Liga setelah mengutip 54 mata dalam 28 perlawanan.

Malah Barca mampu merampas kedudukan kedua daripada Sevilla kerana mereka masih kekurangan 1 perlawanan. Barca turut mengekalkan kaedah mereka dalam membawa masuk pemain baharu sewaktu bulan Januari lalu setelah beberapa pemain seperti Aubameyang dan Dani Alves masuk secara percuma. Adama Traore juga didapatkan secara pinjaman manakala hanya Ferran Torres menelan belanja €55 juta.

Joan Laporta turut berani menjual nama stadium mereka kepada Spotify dan kini stadium tersebut dikenali sebagai Spotify Camp Nou. Malah nama Spotify turut terpampang pada jersi pasukan Barcelona untuk 4 musim sebagai sebahagian daripada perjanjian antara kedua-dua belah pihak.

barca 2 Joan Laporta Buktikan Orang Yang Tepat Pegang Kelab Mampu Beri Impak Positif
Barcelona

Kini, Barcelona turut dalam proses membina pasukan baharu dibawah kendalian Xavi dan Laporta sekali lagi mengambil pendekatan yang sama apabila tidak mahu membayar harga yang tinggi dalam pembelian pemain. Barcelona juga telah mengenakan gaji siling bagi mengawal kewangan mereka.

Laporta turut memaklumkan bahawa bajet mereka untuk musim hadapan masih dalam kekangan. Kini Barcelona giat mencari pemain secara perpindahan percuma bagi mengurangkan perbelanjaan kelab. Malah Laporta sendiri memaklumkan mana-mana bintang yang mahu menyertai Barca perlu menerima gaji yang dihadkan oleh kelab.

Kembalinya Laporta jelas berjaya menyelamatkan kelab daripada krisis kewangan yang teruk. Malah semangat Laporta terhadap Barcelona bukanlah perkara asing memandangkan beliau sebelum ini pernah menjadi presiden Barcelona (2003-2010) dimana kelab tersebut berjaya merangkul pelbagai kejayaan dan melahirkan ramai pemain berbakat besar.