Laungan ‘JDT Takut Air’ bergema ketika aksi Selangor menentang JDT makan diri namun isu padang bukanlah satu hal yang remeh.
Perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya menyaksikan skuad Harimau Selatan menewaskan Selangor dengan keputusan 3-0.
Kemenangan itu membolehkan JDT menjarakkan diri 8 mata dengan Selangor selain mengekalkan rekod bersih bagi pertembungan kedua-dua pasukan musim ini.
Sebilangan penyokong Selangor melaungkan kata-kata ‘JDT takut air’ ketika aksi di MBPJ itu membawa padah apabila tuan rumah tewas kepada JDT.
Namun begitu, isu padang ini perlu dipandang dengan lebih serius tatkala negara-negara jiran di Asia Tenggara sudah mula menaik taraf kualiti padang ke tahap yang lebih baik.
Perkara ini pernah dizahirkan secara jelas oleh Pemilik Kelab Bola Sepak JDT, DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor tentang kemajuan negara jiran terhadap infrastruktur bola sepak mereka.
“Negara Laos yang miskin pun padang lagi cantik daripada negara kita. Masalah padang rumput lembu adalah permukaan permainan dan apabila hujan, air bertakung.
Ini kerana padang tersebut adalah berasaskan tanah dan bukan berasaskan pasir. Berlumpur. Nak bola maju tapi pemikiran masih tak nak berubah,” jelas DYAM Tunku Ismail.
Isu padang di Eropah amat dipandang serius dan difahamkan pemain ternama dunia, Lionel Messi pernah tidak dibenarkan beraksi atas padang yang teruk susulan tiada insurans untuk menampung risiko tersebut.
Situasi padang ini juga telah merencatkan perjalanan Liga Malaysia selepas aksi antara Perak dan JDT selepas perlawanan terpaksa ditangguh sebanyak dua kali akibat padang berlecak.
Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada pasukan atas kos logistik dan lain-lain tetapi turut memberi kesan kepada kualiti permainan yang bakal ditampilkan oleh pasukan yang beraksi.
Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) telah mengumumkan inisiatif geran keseluruhan bernilai RM4.6 juta buat 10 negeri bagi pelaksanaan projek menaik taraf padang bola sepak dan sistem saliran di stadium.
8 negeri iaitu Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Melaka bersetuju untuk menerima geran penuh RM500,000 bagi proses penambahbaikan saliran dan penukaran rumput di stadium.
Walau bagaimanapun, dua negeri iaitu Perlis dan Kedah hanya menerima RM300,000 bagi menaik taraf sistem saliran.