Laura Langman: Pramusim Bukan Gambaran Sebenar Johor Jewels
UltraSukan
Johor Jewels

Bintang import Johor Jewels, Laura Langman menyifatkan pramusim bukan gambaran sebenar kekuatan pasukan itu menjelang saingan Netball Super League (NSL) musim 2026.

Saingan pramusim menyaksikan Johor Jewels muncul juara dengan menewaskan Pahang Tulips 48-23 di peringkat akhir.

Meskipun menamatkan pramusim sebagai juara tanpa sebarang kekalahan, Langman mengingatkan ini bukan gambaran sebenar kekuatan pasukan yang akan dihadapi Johor Jewels nanti.

Ini kerana pramusim NSL 2026 dilihat medan buat semua pasukan termasuk Johor Jewels mengenal pasti kekuatan dan kelemahan yang ada sebelum NSL bermula.

“Ianya akan menjadi musim yang sukar kerana saya boleh lihat ketepatan lontaran di NSL adalah antara yang terbaik dan dengan adanya format dua mata ianya akan menjadikan perlawanan lebih menarik.

“Apa yang ditampilkan ketika pramusim bukanlah gambaran sebenar dan pastinya satu musim yang menarik buat semua pasukan.

“Pada saya, pramusim adalah medan yang bagus untuk melihat di mana tahap kami ketika ini serta mencuba sistem permainan yang kami mahukan di dalam dan di luar gelanggang serta menilai apa yang kami jangkakan,” katanya.

Johor Jewels bakal membuka kempen NSL dengan menentang Melaka Mystic pada 18 April ini.