‘Musuh’ Malaysia dalam saingan Piala Asia 2023, Korea Selatan menganggap Vietnam sebagai pasukan lemah menjelang aksi persahabatan kedua-dua pasukan itu pada Oktober ini.
Jurulatih Taeguk Warriors, Jurgen Klinsmann melihat Golden Star Warriors sebagai satu-satunya lawan alternatif mereka untuk kalendar antarabangsa FIFA pada Oktober.
Sebarang rancangan untuk mengundang pasukan dari Amerika Selatan atau Eropah untuk tempoh tersebut tidak kesampaian disebabkan jadual perlawanan EURO 2024 dan pusingan kelayakan Piala Dunia 2026.
“Ini penyelesaian terbaik yang saya boleh dapatkan. Saya mahu mahu pasukan bersiap sedia untuk kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia jadi saya cari satu pasukan Asia. Jadi, saya pilih Vietnam,” katanya dalam satu sidang media semalam seperti dilaporkan TheThao247.
Jika dibuat perbandingan atas kertas, Vietnam menduduki tempat ke-95 dunia jika dibandingkan dengan Korea Selatan (ranking ke-28 dunia). Selain itu, Taeguk Warriors turut diperkuatkan dengan bintang-bintang antarabangsa termasuk kapten Tottenham Hotspur, Son Heung-min.
Vietnam dipilih kerana Klinsmann menjangkakan corak permainan Golden Star Warriors tidak jauh beza dengan corak permainan skuad negara yang dibimbing Kim Pan-gon.
Pada masa sama, komen beliau itu dijangka menyemarakkan semangat negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia bahawa pasukan rantau itu tidak selemah seperti disangka.
Malaysia pernah mengejutkan Korea Selatan semasa Sukan Asia 2018 dengan skuad B-23 negara meraih kemenangan 2-1. Ironinya, perlawanan tersebut turut disertai oleh Heung-min dan orang besi baru Bayern Munich, Kim Min-jae.
Harimau Malaya dijangka bersemuka dengan Taeguk Warriors dalam aksi ketiga Kumpulan E Piala Asia pada 25 Januari tahun hadapan.