Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan faktor cuaca dan konsert artis tempatan mempengaruhi jumlah kehadiran penyokong untuk aksi final Unifi Piala Malaysia.
Saingan final musim 2024/25 itu menyaksikan 55,552 orang hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk aksi antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC.
Angka ini disifatkan sederhana jika dibandingkan dengan kehadiran aksi final edisi 2022 dan 2023. Final 2022 antara JDT dan Selangor FC merekodkan kehadiran 79,988 orang.
Final edisi 2023 yang menampilkan Harimau Selatan dan Terengganu FC pula merekodkan kehadiran 80,550 orang.
Meskipun angka kehadiran final edisi 2024/25 berkurangan berbanding final dua edisi sebelumnya, Hannah tetap menyifatkan angka 55,552 penyokong yang hadir sebagai ramai.
Selain itu, beliau turut memaklumkan faktor hujan dan konsert legenda rock Malaysia, Amy Search di Axiata Arena mempengaruhi kehadiran untuk final edisi berkenaan.
“Lebih 50,000 (penyokong) yang hadir semalam. Bukan satu nombor yang kecil memandangkan musim hujan.
“Kita juga ada konsert Amy Search yang berlangsung pada waktu yang sama (di Axiata Arena),” katanya seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
Aksi final edisi 2024/25 menyaksikan JDT muncul juara selepas mengalahkan Sri Pahang 2-1.