Negeri Sembilan dijangka diperkuatkan dengan kehadiran lebih ramai pemain import dari Jepun pada musim hadapan.
Khabar angin perpindahan tersebut dikongsikan wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran. Ini dilihat ada kaitan dengan pemain sayap Jepun, Takumi Sasaki yang kini menjadi tonggak utama Sang Rusa.
“Pemain tengah, Takumi Sasaki, telah melanjutkan kontraknya bersama Negeri Sembilan,” katanya di X.
“Difahamkan kelab itu sedang berusaha untuk menambah lebih ramai pemain Jepun ke dalam skuad bagi musim hadapan. Takumi merupakan tonggak penting dalam projek Negeri Sembilan!”
Meskipun Negeri Sembilan menamatkan musim di tangga ke-12 liga, Sasaki dilihat menunjukkan prestasi baik bersama pasukan itu.
Sepanjang musim 2024/25, beliau merekodkan 28 penampilan, dua dan empat bantuan gol buat Sang Rusa. Atas sebab itu, Sang Rusa melanjutkan kontrak beliau selama semusim lagi.
Kehadiran beberapa pemain Jepun bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan tonggak import Negeri Sembilan selepas tamat musim 2024/25.
Antara tonggak import yang sah tidak bersama Sang Rusa untuk musim hadapan ialah bekas pemain tengah KL City FC, Sebastian Avanzini.