Legenda badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei merasakan tempoh cuti yang kurang sesuai yang diambil pemain badminton negara memberi kesan kepada prestasi mereka.
Pandangan bekas jaguh perseorangan lelaki nombor satu dunia itu dibuat selepas prestasi hambar dipamerkan kontinjen negara dalam tiga kejohanan awal Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk tahun 2024.
Tiga kejohanan tersebut ialah Malaysia Open 2024, India Open 2024 dan Indonesia Masters 2024.
Meskipun ada yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau, Chong Wei mengakui pernah melalui perkara sama semasa aktif sebagai pemain badminton.
Dengan Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis berbaki enam bulan saja lagi, beliau mahu para pemain memanfaatkan tempoh tersebut agar tampil lebih mantap selepas ini.
“Perkara pertama yang penting ialah wakili negara, selepas itu barulah karier dan diri sendirilah.
“Dan saya haraplah (barisan pemain badminton negara yang) main tak bagus dalam tiga kejohanan awal, tempoh enam bulan ini saya haraplah pemain-pemain ini bangkit.
“Mereka tahu apa masalah, bukan saya nak komen pasal pemain-pemain. Sebab saya pun pernah lalui sebagai pemain. Ini tahun yang penting kerana ini tahun Sukan Olimpik.
“Kita (sebagai) pemain perlukan rehat selama tiga, empat hari atau seminggu untuk pemulihan sebelum kita balik ke gelanggang.
“Dan kita tahu Krismas jatuh pada 25 (Disember 2023) dan Malaysia Open jatuh pada 9 (Januari 2024), jadi (tempohnya) amat rapat. Saya tak cakap siapa sebab kita hanya akan fokus kepada pemain-pemain (berpotensi layak ke) Sukan Olimpik.
“Saya harap para pemain dapat berkorban untuk tahun ini kerana ini tahun yang besar. Orang cakap ada Piala Thomas, ada Sukan Olimpik. Kalau sudah menang Sukan Olimpik, anda boleh cuti satu tahun pun boleh.
“Ini impian bukan saja untuk diri sendiri tetapi juga untuk rakyat Malaysia. Sebab Malaysia pun belum dapat (pingat) emas pertama,” katanya kepada Nadi Arena semalam.
Antara pencapaian terbaik Chong Wei dalam kariernya sebagai pemain badminton ialah sebagai pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016.