Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak lagi berada dalam kelompok tiga pemain terbaik dunia.
Kemas kini terbaru Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) menyaksikan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu kini menduduki ranking kelima dunia dengan 83,716 mata.
Zii Jia dipintas dua lagi jaguh dunia, Anders Antonsen dan Kodai Naraoka. Antonsen dan Naraoka masing-masing kini menduduki ranking ketiga dan keempat dunia dengan 84,241 dan 84,197 mata.
Situasi ini berlaku disebabkan beliau memilih untuk fokus kepada pemulihan selepas mengharungi lebih 13 kejohanan untuk tahun 2024 termasuk Sukan Olimpik 2024.
Keadaan ini mendorongnya Zii Jia tidak menyertai beberapa kejohanan jelajah BWF seperti Hong Kong Open 2024 dan Korea Open 2024.
Zii Jia kembali beraksi dalam kejohanan jelajah BWF menerusi aksi dalam saingan China Open 2024. Walau bagaimanapun, beliau terkandas di pusingan pertama apabila tewas kepada wakil Jepun, Koki Watanabe.
Juara Thailand Open 2024 itu berharap dapat kembali berada pada tahap terbaik dari segi fizikal menjelang saingan Arctic Open 2024 yang berlangsung pada Oktober ini.
Kedudukan pemain nombor satu dan dua dunia tidak berubah dengan Shi Yuqi dan Viktor Axelsen kekal berada di kedudukan tersebut.
Sementara itu, dua lagi wakil perseorangan negara berada dalam kelompok 40 pemain terbaik dunia. Leong Jun Hao menduduki ranking ke-29 dunia dengan Ng Tze Yong pula di tangga ke-32 dunia.