Dua jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia dan Cheah Liek Hou menerima wang ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah RM1.1 juta.
Liek Hou menerima ganjaran RM1 juta atas kejayaannya mempertahankan pingat emas untuk acara perseorangan lelaki SU5 di pentas Paralimpik 2024.
Anak jati Kuala Lumpur itu mengatasi cabaran musuh ketat dari Indonesia, Suryo Negroho untuk aksi penentuan pingat emas acara berkenaan.
Manakala Zii Jia pula menerima RM100,000 selepas meraih pingat gangsa di pentas Sukan Olimpik 2024. Juara Australian Open 2024 itu mengikut jejak dua legenda negara, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Lee Chong Wei.
Zii Jia meraih gangsa dengan menoktahkan cabaran wakil India, Lakshya Sen dalam aksi penentuan pingat gangsa.
Kedua-duanya menjadi sebahagian daripada lapan penerima ganjaran SHAKAM dalam satu majlis penyerahan insentif SHAKAM yang diadakan di Hotel Dorsett Grand, Subang pada 25 Oktober lalu.
Majlis disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Turut sama hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub dan Penyelaras Jawatankuasa Road To Gold (RTG), Datuk Stuart Ramalingam.
Selain Zii Jia dan Liek Hou, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik turut menerima ganjaran SHAKAM sebanyak RM200,000. Menariknya, kedua-duanya menerima RM100,000 setiap seorang.
Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin menjadi penerima ganjaran SHAKAM tertinggi sebanyak RM1.02 juta. Ini termasuk RM20,000 kerana melakar rekod baru di temasya Paralimpik 2024.
Manakala Muhammad Ziyad Zolkefli, Datuk Abdul Latif Romly dan Eddy Bernard pula masing-masing menerima RM300,000 dan RM100,000.