Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia sah menarik diri daripada menyertai kejohanan Japan Open 2025.
Terdahulu, Lee Zii Jia yang juga pemenang pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024 lalu bakal melakukan kemunculan semula di Japan Open selepas ditimpa isu kecederaan sejak tahun lalu.
Kecederaan yang dialami oleh Lee Zii Jia ketika aksi di World Tour Finals 2024 lalu telah banyak menggangu perancangan karier beliau pada musim 2025 apabila hanya beraksi dua kali sahaja.
Kali terakhir pemain berusia 27 tahun ini turun beraksi adalah ketika kejohanan All England pada Mac lalu namun Lee Zii Jia tampak masih bergelut sebelum kecundang di pusingan awal kepada Ng Ka Long.
Kini, Zii Jia mengambil keputusan untuk menarik diri daripada sertai Japan Open menerusi suatu kemas kini senarai pemain bertanding yang dipaparkan di laman rasmi Badminton World Federation (BWF).
Dengan ketiadaan Lee Zii Jia ini, cabaran perseorangan lelaki Malaysia di Japan Open nanti bakal digalas oleh seorang lagi wakil negara, Leong Jun Hao yang kini berada di ranking ke-25 dunia.
Saingan Japan Open bakal membuka tirainya pada 15 Julai hadapan sehingga 20 Julai di Tokyo, Jepun.