Lee Zii Jia Tarik Diri Sertai Denmark Open
UltraSukan

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terpaksa melupakan hasrat menyertai saingan Denmark Open.

Keputusan itu dikongsikan pasukan pengurusan Zii Jia, Team LZJ dalam satu hantaran di platform media sosial rasmi mereka.

Pemain nombor lima dunia itu terpaksa menarik diri susulan kecederaan buku lali yang dialaminya dalam aksi suku akhir Arctic Open 2024 baru-baru ini.

“Selepas tiba di Odense pada Ahad, harapan dan perancangan ialah Zii Jia dapat tampil dalam saingan VICTOR Denmark Open 2024 meskipun Zii Jia mengalami kecederaan buku lali semasa aksi suku akhir Arctic Open.

“Zii Jia turun ke gelanggang hari ini tetapi ketidakselesaan di bahagian buku lali menghalangnya daripada bergerak mengikut kualiti tahap perlawanan kompetitif.

“Selepas mengambil kira semua pertimbangan, Zii Jia dengan berat hati terpaksa menarik diri daripada VICTOR Denmark Open edisi tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu bukan satu-satunya wakil Malaysia yang menarik diri daripada saingan Denmark Open. Beregu campuran Yap Roy King dan Valeree Siow juga terpaksa melupakan kejohanan sama.

Satu lagi nama besar yang tidak menyertai Denmark Open ialah juara dunia beregu lelaki 2023 dari Korea Selatan, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae.