Penyerang legenda Korea Selatan, Cha Bum-kun menyifatkan pasukan tersebut gagal mendidik dengan baik generasi pemain muda berbakat seperti Lee Kang-in.
Pandangan ini dinyatakan beliau dalam Anugerah Bola Sepak Cha Bum-kun Ke-36 yang berlangsung baru-baru ini.
Bum-kun menyifatkan apa yang berlaku membabitkan Kang-in dalam skuad Pahlawan Taeguk semasa kempen Piala Asia 2023 tidak sepatutnya berlaku.
Nama pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG) itu menjadi tumpuan selepas beliau bertelagah dengan kapten pasukan, Son Heung-min sebelum perlawanan separuh akhir Piala Asia 2023 menentang Jordan.
Pergaduhan tersebut mengakibatkan jari kapten Tottenham Hotspur itu hampir patah. Korea Selatan kemudiannya tersingkir selepas tewas 2-0 kepada Jordan.
Bum-kun menyifatkan perkara ini berlaku disebabkan generasi pemain seperti Kang-in melupakan nilai ketimuran seperti rendah hati dan kesediaan berkorban demi negara.
Dengan ramai pemain ini beraksi di Eropah termasuk Perancis dan Sepanyol, nilai sebegini dianggap tidak penting.
Maka, menjadi tanggungjawab pemain-pemain lebih berpengalaman termasuk Heung-min untuk membimbing dan memastikan mereka tidak lupa akan asal-usul mereka.
“Generasi muda mungkin menganggap kerendahan hati dan pengorbanan yang ditekankan di Timur adalah ketinggalan zaman dan tidak berguna.
“Namun begitu, kualiti ini adalah senjata dan aset yang diwarisi oleh orang Korea. Tidak baik untuk generasi pemain ini kehilangan senjata berharga ini.
“Jika mereka membuangnya secara tidak sengaja, orang dewasa di sekeliling harus mengambilnya dan meletakkannya semula di tangan kanak-kanak itu.”
“Pemain itu mungkin tidak tahu bahawa situasi yang dianggap tidak penting di Sepanyol atau Perancis boleh menimbulkan kemarahan penyokong kami sehingga ke tahap ini.”
“Pasukan kebangsaan kita amat bertuah mempunyai kapten seperti Son Heung-min. Kini tiba masanya untuk ibu bapa mengajar pemain untuk serius mempertimbangkan bagaimana kejayaan bermaruah, kejayaan sebenar, untuk anak-anak kita,” katanya seperti yang dilaporkan akaun X, Joel Kim.
Bum-kun merupakan nama besar di Korea Selatan kerana pernah beraksi untuk dua kelab Bundesliga, Eintracht Frankfurt dan Bayer Leverkusen pada tahun 70-an dan 80-an.
Beliau juga bertanggungjawab membimbing Pahlawan Taeguk layak ke Piala Dunia 1998.
Meskipun Kang-in dan Heung-min sudah berbaik semula, ramai menjangkakan namanya tidak akan dipanggil untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Thailand pada Mac ini.