Legenda bola sepak Korea Selatan, Lee Woon-jae sah menyertai barisan kejurulatihan Vietnam sebagai jurulatih penjaga gol.
Perkara ini didedahkan sendiri bekas pemenang Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2001/02 itu kepada portal Sisa Journal baru-baru ini. Keadaan ini menyaksikan Woon-jae kembali bekerjasama dengan jurulatih Pahlawan Bintang Emas, Kim Sang-sik.
Ini bukan kali pertama kedua-duanya bekerjasama dalam satu pasukan yang sama. Sebelum ini, Woon-jae turut berkhidmat sebagai jurulatih penjaga gol semasa Sang-sik melatih Jeonbuk Hyundai Motors dari 2020 hingga 2023.
“Persekutuan Bola Sepak Vietnam sedang mencari jurulatih penjaga gol sepenuh masa untuk skuad kebangsaan dan Kim Sang-sik mencadangkan nama saya kepada mereka. Peluang menyertai skuad bola sepak Vietnam merupakan satu peluang yang bagus,” katanya.
Nama penjaga gol legenda itu cukup sinonim dengan kejayaan Korea Selatan meraih tempat keempat Piala Dunia 2002. Woon-jae menyertai Rigobert Song sebagai pemain yang pernah beraksi dalam empat edisi Piala Dunia.
Woon-jae menyertai dua lagi rakan senegara yang berada dalam barisan kejurulatihan pasukan Vietnam. Sang-sik ketika ini dibantu penolong jurulatih, Choi Won-kwon dan jurulatih kecergasan, Yoon Dong-hun.
Woon-jae berharap dapat memantapkan lagi barisan penjaga gol Vietnam terutama menjelang ASEAN Championship 2024 yang bakal membuka tirainya pada Disember ini.
“Kita akan menghadapi ASEAN Championship pada bulan hadapan. Dan saya akan bantu penjaga gol Vietnam tentang cara memantapkan lagi aspek sebagai penjaga gol,” ujarnya.
Bulan November ini menyaksikan Vietnam mengadakan kem latihan di Korea Selatan. Ini sebahagian daripada persiapan pasukan itu untuk menghadapi ASEAN Championship 2024.
Persiapan ini diharap dapat menterjemah hasrat Sang-sik untuk membawa Vietnam ke pentas final ASEAN Championship 2024.