Aksi Battle of the Legends 2024 yang menemukan legenda bola sepak Malaysia dan Brunei Darussalam pada Sabtu lepas berakhir dengan kemenangan besar buat kem negara.
Kem legenda Malaysia menampilkan 20 bekas pemain seperti Khalid Jamlus, Asmawi Bakiri, Zaquan Adha Abdul Radzak dan Baddrol Bakhtiar di bawah bimbingan Datuk K. Rajagopal.
Sementara kem Brunei pula menampilkan legenda seperti Brian Bothwell, Suni Mat Jerah, Ibrahim Bakar dan Ali Momin. Pasukan Brunei turut mendapat sentuhan Daim Hj. Ali sebagai jurulatih.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah itu diadakan bagi meraikan hubungan Malaysia-Brunei yang kini memasuki tahun ke-40.
Meskipun skuad legenda negara dilihat sebagai pasukan pilihan, legenda Brunei terlebih dahulu mendahului menerusi Suni. Beliau berjaya melepasi pertahanan Malaysia sebelum menewaskan penjaga gol, Norazlan Razali.
Keceriaan kem Brunei tidak bertahan lama apabila Malaysia kembali menyamakan kedudukan 1-1. Gol terhasil akibat situasi kelam-kabut dalam kotak penalti yang menyebabkan bola mudah ditolak ke dalam gawang.
Skuad legenda negara terus menggandakan asakan dan berhasil mendapatkan dua lagi gol. Ini menjadikan Malaysia mendahului 3-1.
Nazzab Hidzan berpeluang menggandakan kelebihan skuad legenda negara menerusi sepakan penalti. Malangnya, sepakan penalti yang diambil beliau tersasar.
Legenda Kedah, Baddrol memastikan pasukan legenda negara meraih kemenangan besar dengan gol keempat perlawanan. Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Pengalaman beraksi dalam perlawanan sebegini turut dikongsikan bekas penyerang Negeri Sembilan FC, Zaquan. “Menikmati setiap detik,” katanya ringkas dalam satu hantaran di Instagram.
Susulan maklum balas yang positif daripada penyokong, ada yang mengharapkan perlawanan serupa dapat diadakan dengan barisan legenda dari negara ASEAN seperti Indonesia dan Singapura.