Leicester City Inspirasi Nottingham Forest
Eropah
Daniel Leal/AFP/Getty Images
Advertisements

Malam ini, satu lagi perlawanan Piala FA akan berlangsung membabitkan juara musim lepas, Leicester City dengan pasukan Liga Kejohanan, Nottingham Forest. Keupayaan Foxes beroperasi dalam EPL mengikut model kewangan yang stabil diharap dapat membantu Forest mencapai perkara sama dan batu asas untuk kembali ke liga utama England itu.

Sebelum ini, kelab dikenali kerana suka berbelanja besar terutama dari segi gaji dalam mendapatkan pemain. Ia merupakan resepi tipikal dalam Liga Kejohanan – berbelanja besar dengan harapan dapat layak ke EPL pada akhir musim. Bagi Forest, model kewangan sebegini bersifat merugikan menerusi kerugian £32 juta (RM181.05 juta) pada Mac 2020.

Hal ini disedari oleh pemilik Forest, Evangelos Marinakis. Ini mendorongnya membawa masuk Dane Murphy dari Barnsley sebagai CEO baru kelab dan memberi fokus kepada perpindahan berorientasikan statistik – model sama yang digunakan di Tykes dan Brentford. Pemain yang dibawa masuk mestilah berusia 26 tahun ke bawah dengan gaji tidak melebihi £10,000 (RM56,581).

Advertisements

Menerusi strategi ini, 15 orang pemain dibenarkan meninggalkan City Ground sama ada secara perpindahan tetap atau pinjaman. Purata usia pasukan berjaya dikurangkan dan ia membantu Forest membuat penjimatan berjumlah jutaan paun sterling dari segi gaji dan yuran perpindahan. Namun begitu, prestasi ini gagal diterjemahkan di atas padang pada awal musim.

Kelab yang dibimbing oleh Chris Hughton itu berharap dapat membuat permulaan positif dalam Liga Kejohanan musim ini. Bagaimanapun, ianya tidak kesampaian dengan kelab merekodkan enam kekalahan dari tujuh perlawanan. Akibatnya, bekas pengurus Newcastle dan Brighton itu dipecat oleh Marinakis pada September tahun lepas.

Pengganti Hughton, Steve Cooper dibawa masuk tanpa perlu membayar kos pampasan. Ini selepas bekas pengurus England bawah 17 tahun itu meninggalkan Swansea pada akhir musim lepas susulan gagal membantu Swans layak ke EPL. Cooper menjadi pilihan utama kerana mampu membangunkan pemain-pemain muda dan mempraktikkan corak permainan menarik.

Advertisements

Sejak itu, Forest tidak menoleh ke belakang dan mula bangkit. Kelab berjaya berada di kedudukan play-off selepas mengutip 12 kemenangan daripada 22 perlawanan. Tetapi paling penting, bakat para pemain yang digilap Cooper mula terserlah bukan saja dalam liga tetapi dalam Piala FA.

Buktinya, kejayaan Forest membenam cabaran gergasi EPL, Arsenal pada pusingan ketiga piala berprestij itu. Djed Spence yang dipinjam dari Middlesbrough menunjukkan prestasi cemerlang sebagai bek sayap kanan. Susulan itu, beberapa kelab EPL mula mengintai khidmatnya. Sementara Brennan Johnson pula diburu Brentford sehingga hari terakhir pasaran perpindahan Januari.

Tetapi ia boleh saja jadi cerita berbeza sekiranya Hughton kekal di City Ground. Hughton merancang untuk meminjamkan Johnson ke Liga Satu (League One) untuk mendapatkan pengalaman. Tetapi Cooper memilih untuk tidak melakukannya dan memberi kepercayaan kepada pemain itu dalam setiap perlawanan Liga Kejohanan.

Advertisements

Kagum dengan cara bekas pengurus Swansea itu menggilap bakat pemain, Marinakis mempercayai pertimbangan yang dibuat Cooper. Ini termasuk membeli khidmat bek tengah Bournemouth Steve Cook walaupun pemain itu berusia 30 tahun. Alasan Cooper mudah, pasukan muda seperti Forest memerlukan pemain berpengalaman untuk mengemudi mereka mengharungi cabaran liga.

Dalam pasaran perpindahan Januari, Cooper dan bahagian pengambilan pemain diketuai pengarah sukan Kyriakos Dourekas saling berhubung dari segi strategi perpindahan. Kebiasaannya, Forest terpaksa membayar berkali ganda bagi mendapatkan pemain sasaran mereka. Hal ini disedari oleh kelab-kelab pesaing mereka dalam Liga Kejohanan.

Cooper berharap dapat menambah khidmat Josh Bowler (Blackpool) dan Jed Wallace (Milwall). Malangnya, Tangerines dan Lions bertegas Forest perlu membayar harga mahal untuk mendapatkan mereka. Ini mendorong Cooper dan Dourekas mengalihkan tumpuan mereka kepada sasaran alternatif iaitu Sam Surridge (Stoke) dan Jonathan Panzo (Dijon).

Advertisements

Dengan mendapatkan dua pemain ini, Forest berjaya memastikan mereka beroperasi mengikut model kewangan yang ditetapkan. Surridge dibawa masuk sebagai pemain sokongan untuk kapten Lewis Grabban. Manakala Panzo merupakan pemain England bawah 21 tahun yang beraksi di Ligue 2 bersama Dijon.

Kelab sentiasa mencari pemain terbaik pada kadar berpatutan walau di mana saja mereka berada. Salah satu rekrut Januari mereka, Richie Laryea merupakan bekas pemain Toronto FC di MLS. Laryea juga merupakan tonggak pasukan kebangsaan Kanada.

Dari segi pasaran pinjaman, Forest dianggap berjaya kerana semua rekrut mereka memberi impak positif. Selain Spence, kelab turut membawa masuk Keinan Davis (Aston Villa), James Garner (Manchester United), Philip Zickernagel (Watford) dan Max Lowe (Sheffield United). Bagaimanapun, Forest berharap mereka tidak membawa masuk terlalu ramai pemain pinjaman musim hadapan.

Kini, giliran Leicester bimbingan Brendan Rodgers menguji anak-anak buah Cooper. Jika tidak layak ke EPL musim ini sekalipun, itu bukan bermakna mereka gagal. Sebaliknya, ia boleh menjadi platform untuk memacu kejayaan di City Ground dengan Foxes sebagai contoh teladan mereka.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram