Pengendali Shanghai Shenhua, Leonid Slutskiy mengakui jadual padat mengganggu rentak pasukan sekaligus gagal melawan kekuatan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Jurulatih berusia 53 tahun itu mengalami kekalahan pertama dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) musim ini setelah tewas 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim.
Beliau bagaimanapun memuji impak yang ditunjukkan oleh anak buahnya untuk bangkit melawan setelah ketinggalan dua jaringan pada babak pertama.
Slutskiy menganggap bahawa jurang kualiti dan faktor kepenatan menjadi pemisah kepada persembahan kedua-dua pasukan.
“Lawan kami (JDT) layak untuk memenangi perlawanan ini. Saya sudah mengatakan bahawa aksi sebegini menuntut komitmen luar biasa pemain. Keadaan fizikal pemain kami tidak berada dalam keadaan baik dan itu yang menjadi pemisah.
“Dengan beraksi 2-3 hari satu perlawanan (jadual padat), penerbangan dan juga memberi kesan kepada persembahan kami,” katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim.
Bekas jurulatih kebangsaan Russia itu mengakui bahawa JDT memiliki kelebihan dengan set pemain yang dimiliki oleh skuad Harimau Selatan.
“Kami tidak berada pada situasi seperti JDT. JDT boleh menukar 11 pemain yang beraksi di Liga Super untuk beraksi di ACLE. Pasukan kami kini sedang memburu tangga teratas dengan sengit,” tambahnya.
JDT meraih kemenangan pertama di ACLE dan tidak tewas dalam dua perlawanan pembukaan menentang kelab China.
Aksi berikutnya bakal menyaksikan Harimau Selatan terbang ke Korea bagi menentang Gwangju pada 22 Oktober 2024.