Aksi Liga 1 Indonesia hari ini melibatkan pertembungan antara pasukan Bali United dan Persikabo 1973. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Kapten Wayan Dipta menyaksikan pasukan tuan rumah berjaya menewaskan pasukan pelawat.
Seawal minit ketiga permainan, Bali United sudah mula mencemaskan seketika kubu Persikabo. Tindakan susulan pemain import Bali United, Eber Bessa hampir memecah kebuntuan perlawanan namun rembatan kencang Eber sempat dihalang pertahanan lawan.
Selang beberapa minit selepas itu, Bali United berjaya menggegar jaring. Bagaimanapun jaringan tersebut dibatalkan pengadil kerana kapten pasukan, Spasojevic dikesan berada dalam kedudukan offside.
Pada minit ke-28 permainan, kesilapan penjaga gol Persikabo, Muhammad Ridho membawa padah apabila barisan serangan pasukan tuan rumah memanfaatkan menerusi ledakan Novri Setiawan. Jaringan Novri meletakkan Bali mendahului 1-0 dihadapan.
Separuh masa pertama tamat, Bali United 1-0 Persikabo 1973.
Bersambung aksi di separuh masa kedua, anak buah Alessandro Stefano terus menerus melancarkan serangan untuk mencari gol tambahan.
Pemain Persikabo, Lucky Octavianto hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-55 permainan menerusi satu percubaan dari luar kotak penalti. Namun rembatan beliau sekadar melewati palang.
Perlawanan semakin rancak dengan beberapa pertukaran dilakukan kedua-dua pengendali pasukan.
Gerakan banyak diatur daripada kawasan tengah padang yang menyaksikan penguasaan bola dianggap sama rata antara kedua-dua pasukan.
Hasrat Bali United untuk mencetak jaringan tambahan akhirnya kesampaian pada masa tambahan. Kesilapan penjaga gol Persikabo sekali lagi mengembirakan hati penyokong di stadium. Jaringan tenang Jefferson memastikan tiga mata berharga milik Bali United. Perlawanan tamat, Bali United 2-0 Persikabo.
Bagi pasukan Bali United, mereka bakal meneruskan aksi di pentas Piala AFC 2023 bertemu pasukan Terengganu pada Rabu, 4 Mac 2023. Bali United bakal melayan kunjungan pasukan Terengganu di Stadium Kapten Wayan Dipta.