Liga 1 Indonesia bakal berbelanja besar menjelang musim 2024-2025.
Ketua bahagian perhubungan masyarakat PT Liga Indonesia Baru (PT LIB), Sabina Katya mendedahkan mereka telah mendapatkan 15 unit sistem bantuan pengadil video (VAR) bernilai AS$6.5 juta (RM30.3 juta).
12 daripadanya merupakan unit van bergerak dengan tiga lagi akan diletakkan di lokasi tetap. Tiga lokasi tetap VAR yang berkemungkinan dipilih pihak liga ialah Solo, Bali dan Bandung.
Perbelanjaan besar ini dibuat memandangkan VAR bakal diperkenalkan dalam Liga 1 Indonesia pada Februari 2024.
“Kami ada 15 unit VAR, 12 unit VAR akan mobile dan 3 tetap. Mungkin di Solo, Bali, dan Bandung. Itu masih rekomendasi,” katanya seperti dilaporkan portal Bola Okezone.
Sabina turut menegaskan bahawa unit VAR tersebut dibeli oleh pihak liga dan bukannya disewa seperti didakwa sesetengah pihak.
Ini kerana pembelian unit sistem berkenaan merupakan pelaburan jangka panjang Liga 1 dalam memantapkan lagi kualiti bola sepak liga berkenaan.
“Kami beli VARnya. Itu dari vendor yang direkomendasikan oleh FIFA. Salah satunya Hawkeye,” tambahnya.
Indonesia bakal mengikut jejak langkah negara-negara ASEAN seperti Thailand, Singapura dan Vietnam yang telah melaksanakan sistem tersebut.