Manjung City mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya menewaskan Harini FT dengan jaringan besar 5-2 untuk meraih tiga mata penting liga.
Manjung City turun dengan formasi 4-4-2 yang dipimpin oleh Faizzwan Dorahim selaku kapten pasukan bagi aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
Praviin pula mengetuai pasukan Harini FT yang masih mencari kemenangan pertama dalam saingan Liga A1 setelah mengharungi 8 perlawanan tanpa menang.
Aksi bertenaga dipamerkan oleh Manjung City pada babak pertama apabila meraih gol pada minit ke-26 menerusi jaringan C. Sasikumar.
Muazzim Khalil menggandakan kedudukan pada minit ke-31 sekaligus memaksa Harini FT tampil lebih bertahan setelah dibolosi dua kali.
Gol ketiga Manjung City hadir ketika perlawanan memasuki minit ke-40 hasil jaringan Khairul Amizan untuk menjadikan kedudukan 3-0 sehingga tamat babak pertama.
Memasuki babak kedua, Manjung City terus garang membolosi gawang gol Harini FT apabila menjaringkan gol keempat menerusi Sobri Hasri pada minit ke-63.
Harini FT akhirnya meraih gol pertama pada minit ke-83 hasil jaringan kapten pasukan, Praviin tetapi kedudukan 4-1 tidak bertahan lama apabila Manjung City sekali lagi berjaya menambah jaringan.
Saifuddin mencetak nama selaku penjaring gol kelima perlawanan buat Manjung City seminit setelah Harini FT meraih gol pertama mereka.
Praviin menjaringkan gol kedua Harini FT pada minit akhir perlawanan apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang menewaskan Syafeeq Syamsul.
Manjung City gah menewaskan Harini FT dengan jaringan 5-2 untuk mendaki tangga ke-8 Liga A1 dengan mengumpul 11 mata.
Harini FT pula merekodkan kekalahan ke-7 dalam 9 perlawanan sekaligus meletakkan pasukan tersebut di tangga tercorot liga dengan mengumpul 2 mata.