Tindakan penjaga gol PT Athletic FC, Syakir Danial Ma’amal Hajri menerjah keras pemain Bunga Raya Damansara (BR Damansara) pada 27 Julai lalu membawa padah.
Aksi hari perlawanan ketujuh Liga A1 Semi Pro menyaksikan PT Athletic berentap dengan BR Damansara di Stadium Mini Persada PLUS. Pemenang perlawanan berpeluang menghambat kelompok teratas liga termasuk juara liga musim 2023, Imigresen FC.
Segalanya berubah buat PT Athletic pada minit kesembilan apabila Syakir Danial bertindak membuat terjahan ala ‘kungfu’ ke atas penyerang BR Damansara, Sunil Chandran.
Terjahan tersebut mengakibatkan Sunil mengaduh kesakitan di luar kotak pengadil. Dan ini mendorong pengadil perlawanan, Mohd Atik Kassim melayangkan kad merah kepada Syakir Danial.
Meskipun pemain-pemain PT Athletic cuba membantah keputusan itu, Atik kekal dengan keputusannya. Keadaan ini menyebabkan jurulatih PT Athletic, Nazrulerwan Makmor terpaksa mengorbankan Dirga Surdi untuk memasukkan penjaga gol, Nik Mohd Amin Ahmad.
Kelebihan 11 pemain yang dimiliki BR Damansara dimanfaatkan sepenuhnya pasukan itu pada separuh masa pertama. Ignacio Augustin Sequiera meletakkan pasukan itu di hadapan pada minit ke-18.
Semangat juang yang ditampilkan PT Athletic pada separuh masa kedua memastikan pasukan itu pulang dengan satu mata. Mereka meraih jaringan penyamaan pada minit ke-81 menerusi Fareez Amirul Fadzil.
Keputusan ini menyaksikan BR Damansara dan PT Athletic masing-masing kekal di tangga kelima dan keenam liga.
Nazrulerwan dijangka mengekalkan Nik Mohd Amin sebagai penjaga gol utama untuk aksi liga seterusnya menentang Melaka FC pada 2 Ogos ini. Ini disebabkan Syakir Danial perlu menjalani penggantungan susulan insiden berkenaan.