Liga A1: Cita-Cita Pendahulu BR Damansara Disekat YPM
MakanBola
BR Damansara
Sponsors

Hasrat Bunga Raya Damansara FC (BR Damansara) untuk memburu takhta pendahulu Liga A1 Semi Pro tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 dengan wakil Pahang, YPM FC di Gambang.

Selepas diikat 1-1 dengan juara liga musim 2023, Imigresen FC pada 30 Jun lalu, BR Damansara memburu kemenangan untuk mendapatkan takhta liga. Sementara YPM juga memburu kemenangan selepas tewas tiga perlawanan awal musim.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan BR Damansara berusaha memberi tekanan menerusi gandingan R. Kogileswaran, Sunil Chandran dan pemain import, Ignacio Augustin Sequeira.

Ad

Keadaan ini memaksa barisan pertahanan YPM diketuai Ahmad Raziq Zikry Razali bekerja keras menafikan setiap gerakan pelawat.

YPM juga berusaha menembusi gawang BR Damansara menerusi jentera serangan yang diketuai bekas penyerang kebangsaan, Azammuddin Akil tetapi tidak berhasil.

Ad

Ketumpulan jentera serangan kedua-dua pasukan memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Ad
View this post on Instagram

A post shared by Amateur Football League (@afl_my)

Ad

Bersambung pada babak kedua, permainan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan terus berusaha mencari kelebihan gol.

Akhirnya, BR Damansara memecah kebuntuan pada minit ke-47 menerusi Sequiera. Penyerang muda Argentina itu berjaya melepasi kawalan pertahanan YPM sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol, Yusuf Akma Mohd Nawi.

Tersentak, YPM bangkit mengejar untuk mendapatkan gol penyamaan. Hasilnya, Helmi Abdullah menyumbat gol penyamaan pada minit ke-60.

YPM berusaha mendapatkan gol kemenangan dengan melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah kubu pertahanan pelawat. Barisan pertahanan BR Damansara kental menyerap asakan bagi memastikan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan BR Damansara kekal di tangga kedua liga dengan 11 mata. Sementara YPM pula lega kerana mengutip mata pertama mereka musim ini.

Selepas ini, YPM akan menentang Armed Forces FC di Stadium MINDEF pada 20 Julai ini. Manakala BR Damansara pula berehat kerana tiada perlawanan untuk aksi minggu keenam Liga A1 Semi Pro.