Hajat Gombak FC untuk bangkit daripada kekalahan pertama dalam liga tidak kesampaian apabila tewas 1-0 kepada PIB Shah Alam FC dalam aksi terbaru Liga A1 Semi Pro.
Gombak mahu melupakan memori dibelasah Malaysian University FT (MUFT) 4-2 pada 14 Julai lalu. Sementara PIB Shah Alam pula mahu meneruskan rekod empat perlawanan tanpa kalah selepas tewas 4-1 kepada Melaka FC pada 1 Jun lalu.
Separuh masa pertama menyaksikan Gombak berusaha menggugat barisan pertahanan tuan rumah menerusi penyerang import Brazil, Patrick Yudi Majeski.
Keadaan ini memaksa barisan pertahanan PIB Shah Alam diketuai kapten, Muhammad Azhar Mohd Apandi bekerja keras menyerap asakan pelawat.
PIB juga turut mencipta beberapa peluang menerusi gandingan penyerang Mustakim Mustapha dan Danial Ashraf Abdullah tetapi tidak berhasil.
Ketumpulan jentera serangan kedua-dua pasukan memastikan keputusan 0-0 di Stadium USIM, Nilai sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, pengendali Gombak, Shahrom Kalam memasukkan bekas penyerang Terengganu FC II, Isa Raman untuk mengubah momentum perlawanan.
Perlawanan mula panas apabila kedua-dua pasukan mula membuat terjahan keras demi mendapatkan bola. Ini menyebabkan pengadil perlawanan, Mohammad Hafizi Mohd Nor Hazalin berusaha menenangkan kedua-dua pasukan untuk mengawal disiplin masing-masing.
Peluang terbaik Gombak hadir menerusi Majeski pada minit ke-59. Malangnya, lambungan yang dicipta beliau berjaya ditepis penjaga gol tuan rumah, Izzat Abd Rahim.
Hafizan Ghazali hampir mencuri gol kemenangan buat PIB Shah Alam pada minit ke-86. Walau bagaimanapun, percubaan lencongnya tidak menepati sasaran.
Tatkala ramai menyangka perlawanan akan berakhir dengan keputusan seri, Danial Ashraf muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-90. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan PIB Shah Alam memintas KL Rovers di tangga keempat liga dengan 11 mata. Sementara Gombak kekal di tangga kesembilan dengan lima mata.
Selepas ini, PIB Shah Alam akan menentang Armed Forces FC pada 27 Julai. Sementara Gombak pula akan berdepan Harini FT pada 28 Julai.