Bukit Tambun FC bangkit daripada tiga kekalahan berturut-turut dalam Liga A1 Semi Pro dengan mengikat PIB Shah Alam 2-2.
PIB Shah Alam berharap dapat menambah kemenangan kedua liga bila beraksi di gelanggang mereka, Stadium USIM di Nilai. Sementara Bukit Tambun pula ingin mengutip tiga mata pertama meskipun beraksi di gelanggang lawan.
Separuh masa pertama menyaksikan PIB Shah Alam berusaha memberi tekanan menerusi trio penyerang mereka, Ferris Danial Mat Nasir, Danial Ashraff Abdullah dan Mustakim Mustapha.
Ini memaksa barisan pertahanan pelawat diketuai kapten, Syazwi Suhaimi bekerja keras menyerap tekanan yang dikenakan tuan rumah.
Keadaan ini mendorong Bukit Tambun melancarkan serangan balas menerusi gandingan Sadam Hashim dan Aiman Safuan Razali.
Gol yang dicari pelawat akhirnya muncul menerusi Syazwi pada minit ke-49. PIB Shah Alam cuba bangkit tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, PIB Shah Alam yang dibimbing Azrin Mohamed terus memberi tekanan kepada kubu pertahanan pelawat.
Hasilnya, Danial Ashraff meledakkan gol penyamaan yang menewaskan penjaga gol Bukit Tambun, Nasrullah Abdul Aziz pada minit ke-55.
Gol tersebut memberi keyakinan kepada PIB Shah Alam untuk mendapatkan gol tambahan sekaligus kemenangan di gelanggang sendiri.
Gol yang dicari mereka akhirnya muncul pada minit ke-69 menerusi pemain gantian, Hafizan Ghazali.
Tatkala PIB menyangka mereka telah meraih tiga mata penuh, Rafiuddin Roddin memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata menerusi gol pada minit ke-81. Keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Bukit Tambun kekal di tangga tercorot liga dengan satu mata. Sementara PIB pula di tangga kelapan meskipun berkongsi lima mata dengan Gombak FC.
Selepas ini, Bukit Tambun bakal menentang Armed Forces FC pada 13 Julai ini. Sementara PIB Shah Alam pula menentang Manjung City FC pada hari yang sama.