Pasukan Melaka berjaya melonjak ke kedudukan kedua dalam carta Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024.
Selepas menundukkan Harini FT dengan keputusan 3-1 pada semalam, skuad kendalian K. Devan terus cemerlang mengekalkan rekod tanpa kalah. Hatrik yang diraih penjaring terbanyak Liga A1 musim lalu, Azim Rahim melengkapkan malam gemilang Melaka di Stadium Hang Jebat.
Kelebihan beraksi di laman sendiri dimanfaatkan Melaka untuk kemenangan keempat. Selepas lima perlawanan, Melaka raih satu keputusan seri dan tidak pernah mencatat sebarang kekalahan sepanjang musim ini.
Ketika ini, Melaka sedang bersaing hebat dengan juara Liga A1 musim lalu, Imigresen FC yang mengungguli kedudukan pertama dengan 13 mata. Melaka dan Imigresen kini berkongsi mata dan hanya dibezakan dengan jaringan.
Hanya dibolosi dua jaringan setakat ini, Melaka dilihat sebagai pasukan yang memberi saingan dengan pasukan-pasukan tumpuan yang lain seperti Imigresen, BR Damansara dan KL Rovers. Jika skuad kendalian K. Devan ini konsisten dan mengekalkan prestasi semasa hingga akhir musim, Melaka berpotensi besar untuk diangkat menjadi juara Liga A1 musim ini.